|
Mari baca Quran Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Pemurah. Segala puji bagi Allah. Aku memohon keampunan dan perlindungan daripadaNya dari kejahatan diri dan keburukan amalan.'Maha Suci Engkau! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana'[QS 2:32]
Alhamdulillah pada hari ini kita semua masih beriman kepada Kitab yang telah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad . Namun alangkah sedihnya jika keimanan kita cumalah setakat menghormatinya. Dan penghormatan kita terhadap al-Quran hanya sekadar menggantungnya di dinding-dinding (sebagai hiasan) ,meletakkannya di tempat yang paling tinggi (seperti di atas almari paling atas), membalutnya dengan kain (supaya tidak berhabuk) dan lain-lain lagi. Jarang-jarang sekali untuk kita mengaji al-Quran apatah lagi untuk mengkaji Quran. Sedangkan Allah telah memperkenalkan al-Quran ini dengan pelbagai manfaat kepada manusia.
Profil al-Quran
Kitab (al-Quran) ini, tiada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. [al-Baqarah 2:2]
Al-Quran telah memperkenalkan dirinya sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Namun, adakah kita yang mengaku sebagai orang-orang yang bertaqwa mengambil al-Quran sebagi petunjuk?
Wahai manusia! Sesungguhnya telah sampai kepada kamu bukti kebenaran daripada Tuhanmu (Muhammad) , dan telah Kami turunkan cahaya yang terang benderang (al-Quran).[an-Nisaa' 4:174]
Al-Quran juga adalah nur(cahaya) yang akan menerangi manusia dalam melalui jalan-jalan kehidupan kita. Al-Quran adalah seolah-olah lampu yang menerangi kita untuk melalui jalan yang serba gelap. kita teraba-raba dalam kegelapan itu.Dan al-Quran lah yang akan menerangi kita supaya jalan-jalan yang kelam itu menjadi jelas kelihatan.
Wahai manusia!Sesungguhnya telah datang kepada kamu pelajaran (al-Quran) dari Tuhanmu, penyembuh kepada penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.[Yunus 10:57]
Al-Quran adalah penyembuh kepada segala penyakit jiwa; daripada perasaan hasad dengki, cintakan dunia, riak dan lain-lain. Al-Quran akan membentuk akhlak diri kita dengan akhlak yang baik. Bulan Ramadan adalah (bulan) yang didalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bg manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan furqan (pembeza antara yang benar dan yang batil)...(sampai penghujung ayat) [al-Baqarah 2:185]
Al-Quran bukan sahaja diturunkan sebagai petunjuk, malah memberikan penjelasan kepada petunjuk itu. Al-Quran juga di turunkan untuk mengajarkan manusia untuk membezakan antara yang benar dan yang salah.
Mari kembali kepada al-Quran
Sudah jelas bahawa al-Quran ini adalah panduan bagi manusia khususnya muslim. Kita beriman kepada Allah, kita mengaku seorang muslim, dan kita beriman kepada al-Quran, oleh itu marilah kita kembali kepada al-Quran sebagai petunjuk dan panduan hidup kita. Dan sekiranya al-Quran Kami jadikan sebagai bacaan dalam bahasa selain bahasa arab, nescaya mereka akan mengatakan "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya?" Apakah patut (al-Quran) ini dalam bahasa selain Arab sedang (rasul),orang arab? Katakanlah, al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh kepada orang-orang yang beriman.Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka sumbatan, dan (al-Quran) itu merupakan kegelapan bagi mereka. Mereka itu (seperti) orang-orang yang dipanggildari tempat yang jauh.[Fussilat 41:44]
Adakah kita orang yang mengambil al-Quran sebagai petunjuk dan penyembuh? atau adakah kita orang yang menyumbat telinga kita apabila mendengar kalimah-kalimah Allah ini?
Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran Allah Yang Maha Pemurah (al-Quran), Kami biarkan syaitan (menyesatkannya) dan menjadi teman karibnya. Dan sungguh mereka (syaitan-syaitan) benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk. [az-Zukhruf 43:36-37]
Tidak mengendahkan pengajaran al-Quran boleh dianggap sebagai orang yang apabila datangnya peringatan dari al-Quran, lalu dia mengendahkannya. Selain itu, mereka yang langsung tidak mengambil peduli tentang al-Quran (tidak membaca dan mengkaji al-Quran) juga termasuk dalam golongan ini. Semoga Allah selamatkan kita daripada tergolong dari golongan ini.
akhir kata, mari kita ambil ayat ini sebagai renungan kita.
Dan sungguh Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan, maka adakah orang mahu mengambil pelajaran (daripadanya)?[al-Qamar 54:17]
Ayat ini Allah telah ulanginya sebanyak 4 kali di dalam surah yang sama (iaitu ayat 17,22,32, dan 40). Adakah kita mengambil pelajaran daripadanya? Rujukan : Mari berkenalan dengan al-Quran tulisan Hafiz Firdaus |
| Leave a Comment: |