" Kalau kau perlukan apa-apa bantuan cakap saja dengan aku, aku akan bantu.", kata Omar meyakinkan Zaid bahawa dia sentiasa bersedia membantu sekiranya Zaid memerlukan bantuannya.
Suatu hari Zaid meminta bantuan Omar namun hari demi hari daripada pengamatan Zaid tiada bantuan dihulurkan. Omar bukanlah dari jenis yang sanggup memungkiri janji tetapi mengapa tiada bantuan dihulurkan?
Apakah perbuatan meminta bantuan itu yang tidak releven? Atau sebenarnya Zaid sendiri tidak memenuhi kriteria melayakkan dia dibantu?Sekadar analogi untuk kefahaman.
MENGAPA DOA KAUM MUSLIMIN TIDAK DISAMBUT?
Beberapa minggu lepas saya menerima sebuah SMS daripada seseorang yang tidak dikenali, dia tidak mahu memperkenalkan diri namun saya percaya dia seorang lelaki. Saudara tersebut mencadangkan mengapa tidak saya menganjurkan sebuah forum membincangkan topik "Adakah Doa Senjata Berkesan Untuk Berperang Sekarang?". Saya terpaksa menolak cadangan saudara tersebut kerana ingin memberikan tumpuan kepada pelajaran dan aktiviti persatuan serta da'wah. Pada awalnya saya beranggapan apa yang saudara tersebut harapkan adalah sebuah forum yang membincangkan tentang sikap umat Islam hari ini yang hanya tahu mengharap tanpa cuba berusaha.
Saya agak bersetuju, bukan niat merendah-rendahkan usaha pihak-pihak yang mengadakan solat hajat atau mendoakan kemenangan Islam setiap kali solat. Cuma agak sedih apabila melihat realiti sesetengah umat Islam hanya menadah tangan saban hari mengharapkan pembebasan Palestine, mengharap kemenangan Islam dan pelbagai lagi namun tiada usaha proaktif yang di jalankan. Solat hajat sehingga lebam tumit namun untuk menghulurkan RM1 sebulan bagi Palestine, menyertai apa sahaja aktiviti yang dapat menyumbang kepada kesedaran masalah saudara-saudara kita di sana ataupun mempersiapkan diri dengan ilmu pun masih keberatan (sekadar memeberi beberapa contoh).
Gemar mengharap sepenuhnya pertolongan Allah Tabaraka Ta'ala tanpa ingin menggerakkan tulang berusaha membantu merupakan suatu kesilapan kerana Allah Subhana wa Ta'ala juga berfirman:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. [as-Ra'd 13:11]
Walaubagaimana pun sangkaan saya meleset apabila kami terus berbincang melalui SMS kerana apa yang cuba disampaikan saudara tersebut berbeza dengan sangakaan saya. Beliau mempertikaikan keperluan doa di waktu perperangan. Baginya makin kita berdoa, makin hebat bedilan Israel terhadap Lubnan. Beliau mengatakan kita perlu mengikut zaman dan doa tidak lagi releven pada masa kini. Dahulunya kita mendoakan saudara-saudara kita di Iraq tetapi akhirnya Iraq tetap tersungkur kekalahan. Semakin kita berdoa dan buat solat hajat semakin gagah Israel dan yang semakin punah Lubnan. Maka beliau membuat kesimpulan doa tidak releven sebagai senjata umat Islam pada tahun 2006. Beliau menambah, zaman Nabi memanglah tentera Islam menang kerana doa Nabi makbul dan doa tidak lagi makbul selepas kewafatan Nabi. Beliau kemudian bertanya bom lawan doa siapa menang? Sekalipun beliau menafikan yang beliau mempertikaikan peranan doa namun melalui perbincangan kami, saya melihat beliau lebih cenderung ke arah itu.
Saya khuatir kekeliruan seperti ini menular di kalangan umat Islam yang terlalu bersikap rasional dalam melihat amal ibadat Islam sehingga mungkin tidak sengaja mendahulukan akal mengatasi wahyu.
DOA: RELEVEN SEPANJANG ZAMAN
Mengapakah kita berdoa? Selain ianya merupakan ibadah, doa adalah bukti sebagai makhluk yang lemah kita sentiasa perlukan bantuan dan pertolongan Tuhan yang lebih berkuasa. Adalah sombong sekiranya kita beriman bahawa ada kuasa yang lebih agung tetapi kita menolak untuk meminta pertolongan dari-Nya. Sehebat mana pun seorang strategis perang, sehebat mana pun angkatan tentera namun mereka masih bergantung pada faktor sekeliling dan pelbagai kebarangkalian yang kebanyakkannya di luar kemampuan manusia untuk menentukan.
Menyatakan doa tidak lagi releven pada masa ini sebenarnya akan turut menafikan relevennya al-Quran sebagai kalamullah yang sesuai sepanjang zaman. Ini kerana Allah Subhana wa Ta'ala berfirman:
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina.[Ghafir 40:60]
Ayat itu tentunya bukan ditujukan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam atau para sahabat sahaja tetapi kepada semua umat manusia amnya maka ayat tersebut sentiasa releven tanpa ada batasan waktu atau situasi. Allah Subhana wa Ta'ala juga murka kepada sesiapa yang menyombong diri kerana tidak mahu berdoa kepada-Nya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Sesiapa yang tidak berdoa kepada Allah, maka Allah murka keatasnya. [Dikeluarkan oleh al-Tirmizi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3373 (Kitab al-Da'awat, Bab Berkenaan Keutamaan Doa)]
SALAH SIAPA?
Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa Allah Subhana wa Ta'ala tidak perkenankan kaum Muslimin untuk menang sedangkan Allah Subhana wa Ta'ala menyatakan dalam al-Quran "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu" . Al-Imam al-Qurtubi dalam al-Jami' li Ahkam al-Quran bahawa perkataan أَسْتَجِبْ (aku memperkenankan doa) bukanlah bererti semestinya setiap doa itu ditunaikan secara mutlak atau terperinci seperti yang dipohon. Doa mungkin akan dimakbulkan melalui tiga cara seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Tidak ada seorang muslim pun yang berdoa dengan sesuatu doa yang tidak ada di dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari 3 perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberi balasan baik pada akhirat), ataupun diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya.
[al-Imam al-Syaukani berkata: Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya'la, kata al-Munziri: Sanadnya sahih (Tuhfah az-Zakirin m.s. 65, cetakan. Lubnan)]
Tidak keterlaluan juga saya katakan kemungkinan sikap terburu-buru kaum Muslimin meluahkan keluh kesah tentang doa mereka yang seolah-olah tidak berjawab melambatkan doa mereka dimakbulkan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – Hadis no:4916 (Kitab Al-Dhikr, Bab Doa Seseorang Akan Dikabulkan Selagi Dia Tidak Tergesa gesa)]
Mari lihat kembali kepada analogi di awal tulisan ini. Dalam mempertikaikan apakah doa itu masih ada fungsinya kadang kala kita lupa untuk melihat kembali kesilapan itu datang daripada siapa sebenarnya. Apabila telah berjela doa dipanjatkan tetapi kemenangan masih belum berpihak pada kita, bukan doa itu yang salah. Mari kita lihat firman Allah apabila tentera Islam gagal menewaskan tentera musyrikin ketika perang Uhud dahulu:
Dan apabila kamu ditimpa musibah (yakni kekalahan dalam Perang Uhud), padahal (sebelum itu) kamu telahpun memenangi (peperangan) seperti itu sebanyak dua kali ganda (yakni kemenangan dalam Perang Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (musibah) ini?"
Katakanlah: "(Musibah) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri." Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [Ali Imran 3:165]
Bagaimana mungkin Allah akan berikan kemenangan sekiranya umat Islam masih tidak bersemangat untuk berjuang, saling berbalah antara satu sama lain, menderhaka perintah-larangan Rasulullah dan menghendaki keuntungan dunia.
DOA + USAHA
Maka jawapan yang ditanya saudara tersebut melalui SMS kepada saya tentang antara doa dan bom siapa menang? Saya katakan doa yang mustajab mampu mengalahkan bom (kekuatan tentera) sebagaimana tewasnya tentera Musyrikin yang berlipat ganda jumlahnya ketika perang Badr dan bom juga mampu mengalahkan umat Islam yang tidak mahu berusaha.
Menolak dan mempersalahkan doa bukanlah penyelesaian terbaik jauh sekali sesuatu yang bijak. Yang perlu diperbaiki adalah sikap umat Islam itu sendiri. Hari ini terdapat juga umat Islam yang bertempur dengan senjata dan bukan sekadar duduk di tikar sembahyang mengharap doa semata. Silapnya hanya apabila sebahagian umat Islam pula asyik dengan berdoa dan solat hajat tetapi tiada satu pun usaha praktikal dan efektif diambil. Sikap itu yang perlu diperbaiki, bukan mempertikaikan kemampuan doa. Jangan kerana "marahkan nyamuk kelambu dibakar". Kemenangan mungkin bukan milik umat Islam sekarang selagi umat Islam secara keseluruhannya tidak belajar memperbaiki diri mereka.
Umat Islam perlu sedar bahawa doa tanpa usaha adalah malas manakala usaha tanpa doa adalah sombong. Moga kita dijauhi dari kedua-dua sifat negatif itu.
alFaisal
Cyberjaya
17 Ogos 2006 / 23 Rejab 1427
4.23 pm