Tulisan
ini mungkin sekadar cebisan comot daripada lambakan tulisan hebat para ilmuan
yang mencintai hadis Nabi dalam menerangkan betapa kerasnya amaran Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap mereka yang menyandarkan pada baginda
sesuatu yang bukan daripada baginda atau mereka sangka daripada baginda tanpa
usul periksa. Risau melihat hadis-hadis yang tidak diketahui darjatnya samada
sahih atau tidak disebarkan dengan alasan bertujuan baik. Bagaikan terlupa
terdapat ungkapan ‘niat tidak menghalalkan cara’. Lebih parah terdapat
sesetengahnya tidak sedar pun apa yang mereka sebarkan tanpa sumber dan
disandarkan kepada Nabi itu boleh dikategorikan sebagai hadis yang termasuk
dalam amaran keras Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka saya terpanggil
untuk cuba
menjadikan tulisan ini satu ringkasan buat orang awam dalam mengupas isu ini.
Sikap
individu dalam berinteraksi dengan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam secara amnya boleh dibahagikan kepada tiga golongan:
[1] Mereka yang terbaca atau
terdengar hadis(kisah) yang disandarkan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam dan terus menyebarkannya kepada umum tanpa menyemak kembali
kesahihannya atau menyertakan sebarang rujukan.
[2] Mereka yang terbaca atau
terdengar hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetapi tidak
menyebarkannya kerana masih khuatir akan darjat hadis tersebut.
[3] Mereka yang terdiri daripada
para ilmuan atau individu yang memiliki pengetahuan tentang hadis dan hanya
menyampaikan hadis berserta dengan darjatnya, rujukan dan pemahaman yang betul.
Risalah
ringkas ini sememangnya ditujukan buat golongan yang pertama dengan harapan
dapat memberi sedikit manfaat dan menghindar daripada melakukan perkara yang
ditegah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
è Apakah Hadis ?
Apa sahaja yang datang daripada
Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam merangkumi kata-kata, perbuatan atau
perakuan.
Apabila seseorang menyatakan
‘diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda’ atau ‘Rasulullah
bersabda’ atau ‘Rasulullah melakukan sekian-sekian’ dan apa sahaja yang
disandarkan pada Nabi adalah tertakluk di bawah disiplin menyampaikan hadis
yang akan dibincangkan nanti.
è Amaran Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
Barangsiapa
yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk
dari api neraka
[ Hadis Sahih (Mutawattir): Dikeluarkan Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Ibn
Majah, ad-Darimi dan lain-lain. Lihat Sahih al-Bukhari, hadis no – 109 (Kitab
al-Ilm, Bab dosa berdusta keatas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam).
Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no – 3 dan 4 (Muqaddimah -
Bab berdusta keatas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam).]
Termasuk
dalam perbuatan mendustakan baginda adalah dengan menyampaikan hadis-hadis yang
disandarkan kepada baginda baik dalam hal berkaitan masalah-masalah ahkam
(hukum-hukum), aqidah, tafsir Qur'an,targhib atau tarhib (ancaman atau galakan)
atau keutamaan-keutamaan amal (fadha’il a'mal), sejarah/kisah-kisah dan
lain-lain tanpa mengetahui samada ianya sahih ataupun tidak. Dalam sebuah hadis
lain Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa
yang menceritakan dariku satu hadis yang ia sangka, sesungguhnya hadis tersebut
dusta/palsu, maka ia termasuk salah seorang dari para pendusta. [ Hadis Sahih: Dikeluarkan
Muslim, Ibnu Majah, Tirmidzi, Ahmad. Lihat Muqaddimah Sahih Muslim. Lihat juga
Musnad Ahmad (Hadis Daripada Samuroh Bin Jundud radhiallahu ‘anh) dengan
lafaz yang sedikit berbeza.]
Menurut
Imam Ath-Thahawiy diantara penjelasannya terhadap hadis di atas:
Barangsiapa
yang menceritakan (hadis) dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan
dasar zhan (sangkaan), berarti ia telah menceritakan (hadis) dari beliau
dengan tanpa haq, dan orang yang menceritakan (hadis) dari beliau dengan cara
yang batil, niscaya ia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam :"Barangsiapa yang sengaja berdusta atas
(nama)ku, hendaklah ia mengambil tempat tinggalnya di neraka".[Musykilul Atsar (1/176)]
Di dalam
lafaz "Barangsiapa yang meriwayatkan dariku satu hadis padahal ia telah
menyangka (zhan) bahwa hadis tersebut dusta", baginda tidak mengatakan
bahwa ia telah yakin hadis itu dusta tetapi sekadar sangkaan
semata-mata. Maka ianya menjelaskan, setiap orang yang ragu-ragu tentang
apa-apa yang disandarkan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam samada sahih
atau tidak sahih termasuk dalam kelompok yang dikhabarkan hadis tersebut
sebagai para pendusta.
è Perkara Yang Perlukan Perhatian
Dalam
kita ghairah menyampaikan setiap hadis yang dibaca atau didengari, beberapa
perkara perlu diberikan perhatian bagi memelihara kesucian hadis Nabi
shallallallahu ‘alaihi wasallam. Perlu jelas bahawa hadis merupakan wahyu dan
penerangan kepada al-Quran jadi adalah satu kewajipan untuk memeliharanya
daripada pencemaran-pencemaran dan sikap sambil lewa. Antara perkara yang perlu
diberi perhatian sekiranya berniat menyebarkan hadis adalah:
1. Menyampaikan hadis dengan niat yang ikhlas dan cara yang benar.
Tafsiran Fudhail bin I'yadh rahimahullah terhadap surah
al-Mulk 67:2 dalam menjelaskan konsep ikhlas dan benar adalah:
Yang
paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: "Wahai Ali (nama gelaran
untuk Fudhail bin I'yadh), apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang
paling ikhlas?" Jawab Fudhail bin I'yadh: "Sesungguhnya amal itu
apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima
dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas nescaya tidak
akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang
dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang
dimaksudkan dengan benar ialah amalan itu atas dasar sunnah" [ Dinukil daripada kitab
al-Masaa'il (masalah-masalah agama), Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam,
Jakarta 2002, JIL. 2 ms. 258]
Pada pandangan penulis, mengelakkan daripada melakukan apa
yang ditegah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga merupakan satu amalan
atas dasar sunnah dan merupakan amalan yang benar dan ini termasuklah tidak
menyampaikan hadis baginda dengan hentam keromo.
2. Menyatakan sumber rujukan hadis.
Ini merupakan unsur yang paling perlu diberi perhatian
dalam menyampaikan hadis. Apatah lagi apabila hadis tersebut hanya ditulis
maksudnya. Untuk mencari semula matan Bahasa Arabnya memerlukan masa sekiranya
hadis tersebut jarang didengari atau zahir maknanya agak pelik. Adalah penting
untuk kita tahu hadis yang ingin kita sampaikan tersebut diriwayatkan daripada
siapa.
Secara asasnya, sumber hadis yang utama adalah biasanya
daripada Kutub as-Sittah (kitab yang enam) iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih
Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmizi, Sunan an-Nasa’i dan Sunan Ibnu Majah.
Selain daripada Kutub as-Sittah terdapat
kitab-kitab hadis yang lain yang biasa dijadikan rujukan seperti Sahih Ibnu
Hibban, al-Mustadrak ‘ala al-Shahihin oleh al-Hakim, Sahih Ibnu Khuzaimah,
Al-Muwwatha' Imam Malik, Musnad Imam Ahmad, Sunan Ad-Darimi, Al-Jami' Al-Saghir
oleh Imam Suyuthi dan lain-lain.
3. Mengetahui dan menyatakan darjat hadis.
Untuk mengelakkan diri daripada terjerumus menjadi
pendusta keatas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam seseorang yang ingin
menyampaikan hadis perlulah tahu bahawa hadis itu benar-benar daripada
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Disinilah peranan darjat sesuatu
hadis. Ulama’ hadis telah membahagikan hadis kepada darjat-darjat tertentu yang
mencerminkan ciri-ciri tersendiri. Penulis tidak akan membahaskan secara
terperinci darjat-darjat hadis kerana ingin mengekalkan metode paling ringkas
risalah ini. Untuk mengetahui dengan lebih terperinci pembaca boleh mendapatkan
buku-buku yang membincangkan mengenai ilmu hadis. Namun yang paling utama kita
perlu tahu adalah darjat sahih, hasan, dhaif dan maudhu.
· Sahih - Hadis yang benar/betul.
· Hasan - Memenuhi semua syarat hadis
sahih kecuali perawinya kurang kuat daya ingatannya (tidak dhabit).
· Dhaif – Hadis yang lemah. Sesuatu
(hadis) yang hilang satu syarat dari beberapa syarat hadis yang maqbul
(diterima).
· Maudhu – Hadis palsu, dicipta oleh
seorang pendusta kemudian disandarkan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam.
Kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, juga digelar
Syaikhan (dua syaikh) disepakati menghimpun hanya hadis-hadis sahih sahaja
hasil penyaringan ketat kedua ulama’ hadis tersebut. Namun bukan semua kitab
hadis,samada yang disebutkan di atas atau tidak (selain Sahih al-Bukhari dan Sahih
Muslim) mengandungi hadis-hadis sahih sahaja. Penilaian para ulama’ menyatakan
bahawa kitab mereka turut mengandungi selain sahih termasuklah sebilangan kecil
hadis lemah dan palsu. Oleh itu sesiapa yang berminat menyampaikan hadis selain
daripada yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim perlu lebih berhati-hati
dan mendapatkan semakan para ulama’ hadis yang menilai kembali darjat
hadis-hadis tersebut. Selain itu ia juga bertanggungjawab menjelaskan darjat
hadis tersebut untuk pengetahuan yang lain.
4. Menerangkan tafsiran hadis daripada sumber yang muktabar.
Berhujah
dengan hadis atas tujuan tazkirah (peringatan) dan sebagainya adalah sesuatu
yang baik, namun mentafsirnya tanpa rujukan baik daripada kitab muktabar atau
ahli ikhtisas adalah berbahaya. Ini bukannya satu konkongan pemikiran tetapi
untuk melakukan sesuatu adalah lebih baik merujuk kepada ahlinya. Untuk
memahami sebuah hadis perlulah merujuk kitab-kitab muktabar sebagai contoh:
· Fathul Bari oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam
menghuraikan hadis-hadis daripada kitab Sahih al-Bukhari.
· Minhaj oleh Imam an-Nawawi dalam
dalam menghuraikan hadis-hadis daripada kitab Sahih Muslim.
· Tuhfat al-Ahwadzi oleh
al-Mubarakfoori dalam menghuraikan hadis-hadis daripada kitab Sunan at-Tirmizi.
Bukan
terhad kepada itu sahaja, bahkan banyak lagi kitab-kitab muktabar yang boleh
dijadikan rujukan.
Penutup Kata
Allah berfirman di dalam al-Quran
yang bermaksud:
Hai
orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu
berita, maka periksalah dengan teliti… [al-Hujurat 49:6]
Pengajaran jelas ayat di atas
adalah supaya mengamalkan ketelitian dalam menilai setiap khabar berita apatah
lagi hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mentafsir hadis mengikut
selera sendiri dan berhujah dengan hadis tanpa mengetahui hadis tersebut
benar-benar sahih dan thabit daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
ataupun tidak hanya akan menyumbang kepada kerosakan syariat Islam itu sendiri.
Sesiapa akan bebas berkata apa sahaja dan menyandarkan apa sahaja kepada
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan akhirnya mencorak agama Islam
mengikut selera masing-masing. Atas sebab itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam mewasiatkan satu larangan keras agar kita berwaspada dan tidak menjadi
agen dalam mencemari syariat Islam yang berdiri kukuh berasaskan al-Quran dan
Hadis yang sahih.
alFaisal
Cyberjaya
18 Jun 2006 / 21 Jamadil Awal 1427
9.40 p.m