Untuk membaca muqaddimah bagi topik ini klick .:MUQADDIMAH:.
CIRI MUSLIM CEMERLANG #1: Memahami Agama Islam.
Sesiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Dia akan memberinya kefahaman dalam agama. [ Dikeluarkan al-Bukhari didalam Shahihnya hadis no: 71]
Tidak dapat dielakkan, untuk seorang Muslim menjadi cemerlang tentunya dia perlu memahami Deen (agama dan cara hidup) yang akan membantunya menjadi cemerlang iaitu Islam. Apakah yang dimaksudkan memahami? Menurut kamus dewan perkataan faham membawa makna pengetahuan dalam fikiran mengenai sesuatu manakala perkataan memahami bermaksud tahu dan mengerti benar akan sesuatu. Jadi boleh penulis simpulkan memahami Islam bermakna mengerti dengan pengetahuan akan Islam.
Adakah sama mengerti dengan mempunyai pengetahuan yang mendalam berbanding sikap kita terhadap Islam selama ini lebih sekadar menghafal bulat-bulat dan mengikut secara samberono? Pada pandangan dan pengalaman penulis pendidikan Islam di kebanyakan sekolah hari ini menekankan kita menghafal jenis-jenis air, jenis-jenis najis, rukun-rukun wudhu namun jarang kita didedahkan dengan kaedah memahami dengan pengetahuan.
SIKAP DALAM MEMAHAMI AGAMA ISLAM
Umat Islam hari ini yang lebih cenderung untuk terus kekal di dalam zon selesa dalam pencarian ilmu agama .Kebanyakannya berasa cukup dengan apa yang pernah dipelajari di sekolah lama dahulu. Lebih parah ada merasakan ilmu agama adalah hak milik golongan tertentu sahaja dan tidak perlulah kita yang bukan golongan menyibukkan diri mendalami ilmu-ilmu agama dengan lebih mendalam. Ini sungguh bertentangan dengan sikap kebanyakan kita terhadap ilmu dunia. Demi mengejar kecemerlangan, ilmu duniawi kita bergerak cergas selepas satu tahap ke satu tahap. Selepas tadika kita ke sekolah rendah, seterusnya ke sekolah menengah dan hampir semua akan berhasrat untuk terus memperkembangkan pengetahuan di Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Di IPT, kaedah pembelajaran juga akan turut berubah. Jika di sekolah kita lebih cenderung disuap ilmunya dan kita terima tanpa pandangan yang kritis, tetapi di IPT kita selalunya terpaksa melalui proses belajar, mengkaji dan menganalisis (akan disentuh pada ciri yang berikutnya) dan tentunya proses-proses ilmiah tadi akan memantapkan ilmu yang sedia ada. Alangkah indahnya jika ilmu agama kita turut bergerak maju seperti itu. Berusaha memantapkan ilmu agama yang sedia ada sebagaimana kita berusaha memantapkan ilmu duniawi apabila melangkah ke IPT. Namun boleh dilihat kebanyakan umat Islam hari ini, ilmu duniawinya tidak dibiarkan kekal statik atau beku, tetapi ilmu agamanya dibiarkan kekal di tampuk lama dan terus menerus mempraktikkan apa yang dipelajarinya suatu masa dahulu tanpa usaha membawanya ke satu tahap pemahaman yang lebih baik. Sekiranya A yang dipelajari suatu masa dahulu maka A sahajalah tahap pemahaman terhadap agama tanpa mahu melakukan perubahan. Ini tidak akan membantu untuk benar-benar memahami Islam dan secara tidak langsung menyekat salah satu ciri kearah kecemerlangan.

Sebagai contoh lagi, sekiranya dahulu rukun-rukun solat diketahui melalui buku teks Pendidikan Islam atau buku Penilaian Asas Fardhu Ain maka apabila usia semakin meningkat, tahap pendidikan semakin meningkat, pemahaman terhadap solat juga sepatutnya lebih mendalam. Adalah rugi sekiranya ilmu duniawi kita semakin berkembang tetapi pemahaman terdahap ilmu Islam kita statik. Penulis ambil contoh pemahaman terhadap solat, sebahagian kita masih mengikut secara taqlid (mengikuti suatu pendapat tanpa mengetahui dalil atau hujah di sebaliknya) dengan buku-buku yang sesuai untuk pemahaman pelajar skolah rendah. Untuk berada di tahap faham, adalah perlu sekiranya kita sujud contohnya, kita tahu bagaimanakah cara sujud Nabi shallallahu alaihi wasallam (yakni melalui hadis-hadis Nabi yang sahih) dan mengapa perlu mengikut cara Nabi sujud dan cara Nabi bersolat.
Allah Subhana wa Taala berfirman:
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ ﴿۳۹﴾
Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna. [Az-Zumar 39:9]
Peningkatan dalam perkembangan ilmu agama kita dalam usaha memahami agama Islam sebenar-benarnya adalah sangat penting. Secara tidak langsung, dengan meningkatnya ilmu Islam dan memahami agama dengan lebih mendalam, ini akan membantu kita lebih menyintai Islam, lebih seronok beribadat, dapat melihat Islam dari satu sudut yang lebih segar dan juga memupuk kecemerlangan diri dan pemikiran.
Akan datang: CIRI MUSLIM CEMERLANG#2
alFaisal
Cyberjaya
4 Mei 2006 / 5 Rabiul Akhir 1427
7:00 p.m.
Disunting oleh: saudari miszleen.