Berikut adalah lontaran pendapat seorang saudara berhubung post saya yang menghimpun pendapat yang membenarkan wanita dalam keadaan haid memasuki masjid, yang juga merupakan pendapat Sheikh Dr. Yusuf al-Qardhawi. Maka saya terpanggil bukan untuk membahaskan tetapi sekadar memberi lontaran pendapat juga dan pada masa yang sama menyertakan hadis-hadis yang dimaksudkan oleh saudara tersebut. Moga dengan ini Allah memperkayakan ilmu kita insyAllah.
Hadith yang melarang, walaupun lemah pada sanadnya, akan tetapi bila dikumpulkan petunjuk dari hadith-hadith yang lain, maksudnya menjadi kuat semula.
(1) Hadith berkenaan Haji. (Sila rujuk Sahih Bukhari Muslim, Abu Dawwod, Muwatta Imam Malik). Semasa haji wida', Ummul Mukminin, Aishah berada dalam keadaan haid dan baginda tidak melaksanakan tawaf dan sa'i.
alFaisal: Hadisnya adalah,
“Lakukan apa yang telah dilakukan oleh orang haji kecuali jangan bertawaf di Ka’abah sehingga kamu bersuci.” [ Dikeluarkan Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari - no. 1650 dan Imam Muslim dalam Shahih Muslim – no: 1211]
Dalam hadis di atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melarang ‘Aisyah untuk masuk ke masjid dan sebagaimana jamaah haji boleh masuk ke masjid maka demikian pula wanita haid (boleh masuk masjid). Yang dilarang adalah hanya melakukan tawaf. Berkenaan sa’i pula, yang saya temui hanya hadis yang melarang tawaf. Mungkin boleh sertakan matan dan rujukan lengkap hadis tersebut.
(2) Hadith berkenaan sambutan dua Aidil (AidilFitri dan AidilAdha), yg menggalakkan perempuan keluar sekali merayakan Aidil. Perempuan yang dalam keadaan haid diasingkan dari tempat solat sunat hari raya.
alFaisal:
“Suruhlah keluar wanita-wanita dan anak-anak gadis yang berada di dalam rumah (kepada solat dua hari raya) supaya mereka dapat menyaksikan kebaikan dan seruan orang mukmin, dan jauhilah wanita haid daripada mushalla (tempat lapang solat Hari Raya).” [Shahih al-Bukhari – no: 1652, (Kitab al-Haj)]
Terdapat pendapat menjelaskan mushalla di dalam hadis diatas adalah merujuk kawasan lapang yang dijadikan tempat untuk solat sunat hari raya dan bukannya masjid. Tujuan (illat) arahan menyuruh wanita haid menjauhi mushalla adalah untuk memberi keutamaan kepada mereka yang boleh bersolat dan mengelakkan terputusnya saf apabila wanita haid dan tidak haid berkumpul beramai-ramai di padang lapang tersebut.
(3) Hadith Aishah yang dikemukakan oleh sahabat-sahabat yang Rasulullah menyuruhnya mengambil tikar di masjid. Jawapan balas Aishah dalam hadith tersebut menunjukkan terdapat larangan wanita haid utk masuk ke dalam masjid.
alFaisal: Hadis tersebut berbunyi,
Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepadaku: “Ambilkan timba buat ku dari masjid! Jawabku: “Aku haid..” Maka ujarnya: “Haid mu itu bukan terletak dalam tanganmu”[Hadis Riwayat Jama’ah kecuali Bukhari]
Kalau dilihat hadis tersebut menerangkan sebaliknya, Aisyah yang menyangka wanita haid tidak boleh memasuki masjid tetapi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah membetulkan pemahamannya bahawa tubuh wanita haid (contoh diberikan adalah tangan) bukanlah kotor sehingga melarangnya daripada memasuki masjid.
Jawapan Rasulullah pula membuka ruang kelonggaran yang selari dan senada dengan maksud ayat Quran 4:43 dalam larangan terhadap org dlm junub masuk ke masjid. Dalam ayat tersebut itu juga terdapat kelonggaran iaitu "kecuali untuk lalu".
Di baca ayat tersebut dan hadith Aishah ini, menjelaskan yang hukum haid sama keadaan dengan hukum dlm janabah.
Ada juga ulama (di kalangan kontemporari) yang mencari penyebab atau illat kepada larangan tersebut, seperti tiada haid di tangan. Jadi memakai lampin wanita yang tidak bocor telah menghilangkan "penyebab" larangan itu. Namun, ada yang mengatakan tidak terhilang "penyebab" akibat memakai lampin kerana ini tidak terjadi pula kepada yang berjunub.....
alFaisal: Sekali lagi perlu jelas tiada qiyas (analogi) bagi sesuatu yang sememangnya wujud pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Haid dan junub kedua-duanya wujud pada zaman baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.
a. Qiyas hanya untuk mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak terdapat di zaman turunya wahyu. Perkara baru yang wujud selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (tiada pada zaman Nabi), maka disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Manakala haid bukanlah perkara baru. Haid sememangnya wujud zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Sekiranya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melarang perempuan haid daripada menyentuh, membaca al-Quran dan memasuki masjid maka tidak perlu diwujudkan larangan tersebut.
b. Haid dan junub adalah dua perkara berbeza. Seseorang yang berada dalam keadaan junub boleh membuat pilihan samada untuk berada dalam keadaan junub ataupun tidak. Boleh juga memilih untuk keluar daripadanya (dengan mandi wajib) pada bila-bila masa. Sedangkan haid bermula dan berakhir tanpa pilihan. [Fiqh Perundangan Islam, Dr. Wahbah Zuhaili (bab perbezaan atara haid dan junub), DBP, JIL. 1, ms.451]
(4) Dalam hadith mengenai perkara membatalkan solat, ada menyebutkan solat terbatal jika dilewati perempuan haid, keldai dan anjing hitam. Hadith Riwayat Muslim, Abu Dawood dan Ibnu Khuzaimah (Saya temui hadis ini dlm buku Sifat Solat Nabi, karangan Al-Bani.
alFaisal:
1. Hadis yang dimaksudkan berbunyi:
“Shalat seorang menjadi putus kerana dilewati perempuan [haidh], keldai, dan anjing hitam bila di hadapannya tidak diletakkan pembatas sejenis pelana.” [Hadis daripada Abu Dzar. Dikeluarkan oleh Muslim, Abu Dawud dan Ibn Khuzaimah (1/95/2). Lihat juga kitab Tahdziru as-Sajid min Ittikhadzi al-Quburi al-Masajid dan Ahkamul al-Janaiz Wabid’auha. Dinukil daripada Sifatus Solatun Nabi Sheikh Nasr al-Din al-Albani]
Namun tertannya-tanya mengapa disembunyikan penjelasan Sheikh Nasr al-Din al-Albani di dalam kitabnya tersebut. Di notakaki dalam menjelaskan hadis tersebut di dalam Sifatus Solatun Nabi, Sheikh al-Albani menyatakan ‘haidh’ di situ bermaksud perempuan yang sudah dewasa. Ini turut menepati matan sebuah lagi hadis dimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Apabila seseorang kamu bersolat, hendaklah dia meletak penghadang di hadapannya sepanjang pelana unta. Jika tidak diletakkan penghadang di hadapannya sepanjang pelana unta maka sesungguhnya solatnya akan terputus kerana keldai atau wanita atau anjing hitam (yang melintas di hadapannya).” [Hadis daripada Abu Dzaar radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’i, Ibn Majah dan lain-lain, di atas dengan lafaz Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 510 (Kitab Solat, Bab Kadar penghadang solat).]
Matannya menyebut…
ﺍﻟﺤﻤﺎﺭ ﻭﺍﻟﻤﺮﺃﺓ ﻭﺍﻟﻜﻠﺐ
“keldai atau wanita atau anjing hitam” dan di dalam matan tersebut cuma dinyatakan perempuan (ﺍﻟﻤﺮﺃﺓ).
2. perkataan “solatnya terputus” sendiri mempunyai beberapa kepelbagaian pendapat. Terdapat pendapat yang menyatakan “putus” bukanlah bererti solatnya batal dan tidak sah tetapi bererti terputus (terganggu) daripada kekhusyukan atau terputus (terhenti) hubungan dengan Allah ‘Azza wa Jalla. Boleh rujuk mana-mana kitab fiqh atau syarah hadis bagi mengetahui lebih lanjut mengenai perbahasan ini.
3. Sekiranya kita mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah perempuan berkeadaan haid dan sekiranya kita juga menerima pendapat bahawa ‘putus’ di dalam hadis tersebut bermakna batal. Pada masa yang sama mengatakan hadis tersebut adalah petunjuk perempuan haid dilarang masuk masjid kerana mampu membatalkan solat orang lain (for the sake of argument). Maka perlu jelas hadis tersebut membahaskan mengenai hukum penghadang (sutrah). Dimana perlunya diletakkan penghadang di depan ketika solat bagi mengelakkan gangguan ketika solat. Maknanya sekiranya kita meletakkan penghadang maka faktor yang membatalkan solat tadi (sekiranya berpegang kepada pendapat ‘putus’ bermakna batal) telah dapat diatasi. Kesimpulan daripada menggunakan dalil tadi boleh dikatakan tidak menjadi masalah untuk perempuan haid lalu melintas sekiranya telah terdapat penghadang. Bukannya bukti sarih (jelas) perempuan haid tidak boleh memasuki masjid.
Mengenai hadith seorang wanita Habsyi tidak cukup kuat untuk menerangkan tiadanya larangan haid. Lagipun, apabila dia telah menjadikan rumah, sudah tukar bahagian khemah itu sebagai rumah dan bukan masjid.
alFaisal: Sekiranya bahagian khemah di dalam masjid tersebut telah automatik menjadi kawasan rumah dan bukannya masjid. Maka secara tidak langsung ianya bukan menyokong maksud hadis mengharamkan mereka yang haid berada di dalam masjid, tetapi telah menjadi sebaliknya kerana hadis yang masyur menjadi dalil pengharaman mereka yang berkeadaan haid berada di masjid berbunyi:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam datang, sedang bahagian depan rumah sahabat-sahabatnya menganjur ke dalam masjid, maka sabdanya “pindahkan bahagian depan rumah-rumah ini dari masjid!” Lalu Rasulullah pun masuk, sedang orang-orang itu tidak berbuat apa-apa kerana mengharapkan adanya keringanan. Maka Nabi pun keluar mendapatkan mereka, katanya: “palingkan rumah-rumah ini, kerana aku tidak membolehkan masjid itu bagi perempuan haid maupun orang yang junub” [Hadis daripada Aisyah. Diriwayatkan Abu Daud. Dinilai dhaif dan mudhtharib (goncang) oleh Sheikh al-Albani di dalam Dhaif Sunan Abu Daud no.32]
Sekiranya sesuatu kawasan di dalam masjid secara automatik menjadi rumah hanya dengan ia dijadikan tempat tinggal maka mengapa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam perlu menyuruh rumah-rumah tersebut dipalingkan?
Dalam erti kata lain, sekiranya menerima hadis diatas sebagai hujah, maka terbatal hujah bahawa hadis mengenai wanita Habsyi tidak cukup kuat menerangkan mengenai haid dan begitu juga sebaliknya sekiranya menerima hadis wanita Habsyi tersebut.
Kesimpulannya, telah sepakat jumhur ulama dalam melarang wanita haid untuk masuk ke dalam masjid (kecuali Ibn Hazm, namun pendapatnya pelik dan tidak kuat). Akan tetapi para ulama berselisih apabila dalam keadaan darurat. Menurut setengah, kecuali dalam darurat, setengah yang lain tiada darurat.
alFaisal: Adalah perkara biasa dalam perkara-perkara khilaf terdapat sebahagian ulama’ akan berpendapat sekian-sekian dan sebahagian lagi berpendapat sekian-sekian. Jumhur ulama’ suatu masa dahulu juga mengharamkan nyanyian namun mengapa kebanyakkan kita masih menggunakan pendapat terpencil mengharuskan nyanyian yang bersumber kepada Ibn Hazm dalam hukum muzik? Ini kerana kita menilai dalil yang rajih, mengaplikasi fiqh awlawiyat dan fiqh taysir bukan melihat bilangan ulama' yang menyokong sesuatu pendapat.
Secara peribadi saya lebih suka dan cenderung kepada pendapat yang membenarkan perempuan haid untuk berada di dalam masjid namun saya berlapang dada dan menghormati sesiapa juga yang merasakan pendapat yang mengharamkan wanita haid untuk berada di dalam masjid lebih tepat. Rahmat Allah berserta dengan mereka yang bijak berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat.
wallahua'lam
p/s: Lontaran pendapat ini asalnya telah siap ditulis dan dipos ke forum IU Cyber pada 24 April 2006. Sedikit suntingan telah dibuat bagi menyesuaikannya untuk dipos pada blog.
alFaisal
Cyberjaya
4 Mei 2006 / 5 Rabiul Akhir 1427
7:00 p.m