<< April 2012 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30


Links
  • Demipena (al Faisal)

  • Howevergreen.blogdrive (Syed Huzaifah)

    Search in al-Isra':

     
    User Name:

    Password:


    Forgot Password?


    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed



  •  
    Saturday, September 02, 2006
    DOA vs BOM

    " Kalau kau perlukan apa-apa bantuan cakap saja dengan aku, aku akan bantu.", kata Omar meyakinkan Zaid bahawa dia sentiasa bersedia membantu sekiranya Zaid memerlukan bantuannya.

    Suatu hari Zaid meminta bantuan Omar namun hari demi hari daripada pengamatan Zaid tiada bantuan dihulurkan. Omar bukanlah dari jenis yang sanggup memungkiri janji tetapi mengapa tiada bantuan dihulurkan?  

    Apakah perbuatan meminta bantuan itu yang tidak releven? Atau sebenarnya Zaid sendiri tidak memenuhi kriteria melayakkan dia dibantu?Sekadar analogi untuk kefahaman.

    MENGAPA DOA KAUM MUSLIMIN TIDAK DISAMBUT?

              Beberapa minggu lepas saya menerima sebuah SMS daripada seseorang yang tidak dikenali, dia tidak mahu memperkenalkan diri namun saya percaya dia seorang lelaki. Saudara tersebut mencadangkan mengapa tidak saya menganjurkan sebuah forum membincangkan topik "Adakah Doa Senjata Berkesan Untuk Berperang Sekarang?". Saya terpaksa menolak cadangan saudara tersebut kerana ingin memberikan tumpuan kepada pelajaran dan aktiviti persatuan serta da'wah. Pada awalnya saya beranggapan apa yang saudara tersebut harapkan adalah sebuah forum yang membincangkan tentang sikap umat Islam hari ini yang hanya tahu mengharap tanpa cuba berusaha.

    Saya agak bersetuju, bukan niat merendah-rendahkan usaha pihak-pihak yang mengadakan solat hajat atau mendoakan kemenangan Islam setiap kali solat. Cuma agak sedih apabila melihat realiti sesetengah umat Islam hanya menadah tangan saban hari mengharapkan pembebasan Palestine, mengharap kemenangan Islam dan pelbagai lagi namun tiada usaha proaktif yang di jalankan. Solat hajat sehingga lebam tumit namun untuk menghulurkan RM1 sebulan bagi Palestine, menyertai apa sahaja aktiviti yang dapat menyumbang kepada kesedaran masalah saudara-saudara kita di sana ataupun mempersiapkan diri dengan ilmu pun masih keberatan (sekadar memeberi beberapa contoh).
     

    Gemar mengharap sepenuhnya pertolongan Allah Tabaraka Ta'ala tanpa ingin menggerakkan tulang berusaha membantu merupakan suatu kesilapan kerana Allah Subhana wa Ta'ala juga berfirman:

              Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. [as-Ra'd 13:11]

              Walaubagaimana pun sangkaan saya meleset apabila kami terus berbincang melalui SMS kerana apa yang cuba disampaikan saudara tersebut berbeza dengan sangakaan saya. Beliau mempertikaikan keperluan doa di waktu perperangan. Baginya makin kita berdoa, makin hebat bedilan Israel terhadap Lubnan. Beliau mengatakan kita perlu mengikut zaman dan doa tidak lagi releven pada masa kini. Dahulunya kita mendoakan saudara-saudara kita di Iraq tetapi akhirnya Iraq tetap tersungkur kekalahan. Semakin kita berdoa dan buat solat hajat semakin gagah Israel dan yang semakin punah Lubnan. Maka beliau membuat kesimpulan doa tidak releven sebagai senjata umat Islam pada tahun 2006. Beliau menambah, zaman Nabi memanglah tentera Islam menang kerana doa Nabi makbul dan doa tidak lagi makbul selepas kewafatan Nabi. Beliau kemudian bertanya bom lawan doa siapa menang? Sekalipun beliau menafikan yang beliau mempertikaikan peranan doa namun melalui perbincangan kami, saya melihat beliau lebih cenderung ke arah itu.

              Saya khuatir kekeliruan seperti ini menular di kalangan umat Islam yang terlalu bersikap rasional dalam melihat amal ibadat Islam sehingga mungkin tidak sengaja mendahulukan akal mengatasi wahyu.

    DOA: RELEVEN SEPANJANG ZAMAN

    Mengapakah kita berdoa? Selain ianya merupakan ibadah, doa adalah bukti  sebagai makhluk yang lemah kita sentiasa perlukan bantuan dan pertolongan Tuhan yang lebih berkuasa. Adalah sombong sekiranya kita beriman bahawa ada kuasa yang lebih agung tetapi kita menolak untuk meminta pertolongan dari-Nya. Sehebat mana pun seorang strategis perang, sehebat mana pun angkatan tentera namun mereka masih bergantung pada faktor sekeliling dan pelbagai kebarangkalian yang kebanyakkannya di luar kemampuan manusia untuk menentukan.
     

    Menyatakan doa tidak lagi releven pada masa ini sebenarnya akan turut menafikan relevennya al-Quran sebagai kalamullah yang sesuai sepanjang zaman. Ini kerana Allah Subhana wa Ta'ala berfirman:
     

    Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina.[Ghafir 40:60]

    Ayat itu tentunya bukan ditujukan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam atau para sahabat sahaja tetapi kepada semua umat manusia amnya maka ayat tersebut sentiasa releven tanpa ada batasan waktu atau situasi. Allah Subhana wa Ta'ala juga murka kepada sesiapa yang menyombong diri kerana tidak mahu berdoa kepada-Nya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

    Sesiapa yang tidak berdoa kepada Allah, maka Allah murka keatasnya. [Dikeluarkan oleh al-Tirmizi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3373 (Kitab al-Da'awat, Bab Berkenaan Keutamaan Doa)]

    SALAH SIAPA?
     

    Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa Allah Subhana wa Ta'ala tidak perkenankan kaum Muslimin untuk menang sedangkan Allah Subhana wa Ta'ala menyatakan dalam al-Quran "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu" . Al-Imam al-Qurtubi dalam al-Jami' li Ahkam al-Quran bahawa perkataan  أَسْتَجِبْ  (aku memperkenankan doa) bukanlah bererti semestinya setiap doa itu ditunaikan secara mutlak atau terperinci seperti yang dipohon. Doa mungkin akan dimakbulkan melalui tiga cara seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
     

        Tidak ada seorang muslim pun yang berdoa dengan sesuatu doa yang tidak ada di dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari 3 perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberi balasan baik pada akhirat), ataupun diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya.

    [al-Imam al-Syaukani berkata: Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya'la, kata al-Munziri: Sanadnya sahih (Tuhfah az-Zakirin m.s. 65, cetakan. Lubnan)]

    Tidak keterlaluan juga saya katakan kemungkinan sikap terburu-buru kaum Muslimin meluahkan keluh kesah tentang doa mereka yang seolah-olah tidak berjawab melambatkan doa mereka dimakbulkan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

    Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – Hadis no:4916 (Kitab Al-Dhikr, Bab Doa Seseorang Akan Dikabulkan Selagi Dia Tidak Tergesa gesa)]

              Mari lihat kembali kepada analogi di awal tulisan ini. Dalam mempertikaikan apakah doa itu masih ada fungsinya kadang kala kita lupa untuk melihat kembali kesilapan itu datang daripada siapa sebenarnya. Apabila telah berjela doa dipanjatkan tetapi kemenangan masih belum berpihak pada kita, bukan doa itu yang salah. Mari kita lihat firman Allah apabila tentera Islam gagal menewaskan tentera musyrikin ketika perang Uhud dahulu:

                Dan apabila kamu ditimpa musibah (yakni kekalahan dalam Perang Uhud), padahal (sebelum itu) kamu telahpun memenangi (peperangan) seperti itu sebanyak dua kali ganda (yakni kemenangan dalam Perang Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (musibah) ini?"

    Katakanlah: "(Musibah) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri." Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [Ali Imran 3:165]
     

    Bagaimana mungkin Allah akan berikan kemenangan sekiranya umat Islam masih tidak bersemangat untuk berjuang, saling berbalah antara satu sama lain, menderhaka perintah-larangan Rasulullah dan menghendaki keuntungan dunia.

    DOA + USAHA

    Maka jawapan yang ditanya saudara tersebut melalui SMS kepada saya tentang antara doa dan bom siapa menang? Saya katakan doa yang mustajab mampu mengalahkan bom (kekuatan tentera) sebagaimana tewasnya tentera Musyrikin yang berlipat ganda jumlahnya ketika perang Badr dan bom juga mampu mengalahkan umat Islam yang tidak mahu berusaha.

    Menolak dan mempersalahkan doa bukanlah penyelesaian terbaik jauh sekali sesuatu yang bijak. Yang perlu diperbaiki adalah sikap umat Islam itu sendiri. Hari ini terdapat juga umat Islam yang bertempur dengan senjata dan bukan sekadar duduk di tikar sembahyang mengharap doa semata. Silapnya hanya apabila sebahagian umat Islam pula asyik dengan berdoa dan solat hajat tetapi tiada satu pun usaha praktikal dan efektif diambil. Sikap itu yang perlu diperbaiki, bukan mempertikaikan kemampuan doa. Jangan kerana "marahkan nyamuk kelambu dibakar". Kemenangan mungkin bukan milik umat Islam sekarang selagi umat Islam secara keseluruhannya tidak belajar memperbaiki diri mereka.

    Umat Islam perlu sedar bahawa doa tanpa usaha adalah malas manakala usaha tanpa doa adalah sombong. Moga kita dijauhi dari kedua-dua sifat negatif itu.

     

    alFaisal
    Cyberjaya
    17 Ogos 2006 / 23 Rejab 1427
    4.23 pm


    Posted at 06:14 pm by alFaisal
    Comments (5)  

     
    Tuesday, June 20, 2006
    Berdusta Ke Atas Rasulullah

    Tulisan ini mungkin sekadar cebisan comot daripada lambakan tulisan hebat para ilmuan yang mencintai hadis Nabi dalam menerangkan betapa kerasnya amaran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap mereka yang menyandarkan pada baginda sesuatu yang bukan daripada baginda atau mereka sangka daripada baginda tanpa usul periksa. Risau melihat hadis-hadis yang tidak diketahui darjatnya samada sahih atau tidak disebarkan dengan alasan bertujuan baik. Bagaikan terlupa terdapat ungkapan ‘niat tidak menghalalkan cara’. Lebih parah terdapat sesetengahnya tidak sedar pun apa yang mereka sebarkan tanpa sumber dan disandarkan kepada Nabi itu boleh dikategorikan sebagai hadis yang termasuk dalam amaran keras Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka saya terpanggil untuk cuba menjadikan tulisan ini satu ringkasan buat orang awam dalam mengupas isu ini.

    Sikap individu dalam berinteraksi dengan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam secara amnya boleh dibahagikan kepada tiga golongan:

    [1] Mereka yang terbaca atau terdengar hadis(kisah) yang disandarkan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan terus menyebarkannya kepada umum tanpa menyemak kembali kesahihannya atau menyertakan sebarang rujukan.

    [2] Mereka yang terbaca atau terdengar hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetapi tidak menyebarkannya kerana masih khuatir akan darjat hadis tersebut.

    [3] Mereka yang terdiri daripada para ilmuan atau individu yang memiliki pengetahuan tentang hadis dan hanya menyampaikan hadis berserta dengan darjatnya, rujukan dan pemahaman yang betul.

    Risalah ringkas ini sememangnya ditujukan buat golongan yang pertama dengan harapan dapat memberi sedikit manfaat dan menghindar daripada melakukan perkara yang ditegah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

    è Apakah Hadis ?

    Apa sahaja yang datang daripada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam merangkumi kata-kata, perbuatan atau perakuan.

    Apabila seseorang menyatakan ‘diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda’ atau ‘Rasulullah bersabda’ atau ‘Rasulullah melakukan sekian-sekian’ dan apa sahaja yang disandarkan pada Nabi adalah tertakluk di bawah disiplin menyampaikan hadis yang akan dibincangkan nanti.

    è Amaran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam

    Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

    Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka [ Hadis Sahih (Mutawattir): Dikeluarkan Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain. Lihat Sahih al-Bukhari, hadis no – 109 (Kitab al-Ilm, Bab dosa berdusta keatas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam). Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no – 3 dan 4 (Muqaddimah - Bab berdusta keatas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam).]

    Termasuk dalam perbuatan mendustakan baginda adalah dengan menyampaikan hadis-hadis yang disandarkan kepada baginda baik dalam hal berkaitan masalah-masalah ahkam (hukum-hukum), aqidah, tafsir Qur'an,targhib atau tarhib (ancaman atau galakan) atau keutamaan-keutamaan amal (fadha’il a'mal), sejarah/kisah-kisah dan lain-lain tanpa mengetahui samada ianya sahih ataupun tidak. Dalam sebuah hadis lain Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

    Barangsiapa yang menceritakan dariku satu hadis yang ia sangka, sesungguhnya hadis tersebut dusta/palsu, maka ia termasuk salah seorang dari para pendusta. [ Hadis Sahih: Dikeluarkan Muslim, Ibnu Majah, Tirmidzi, Ahmad. Lihat Muqaddimah Sahih Muslim. Lihat juga Musnad Ahmad (Hadis Daripada Samuroh Bin Jundud radhiallahu ‘anh) dengan lafaz yang sedikit berbeza.]

    Menurut Imam Ath-Thahawiy diantara penjelasannya terhadap hadis di atas:

    Barangsiapa yang menceritakan (hadis) dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan dasar zhan (sangkaan), berarti ia telah menceritakan (hadis) dari beliau dengan tanpa haq, dan orang yang menceritakan (hadis) dari beliau dengan cara yang batil, niscaya ia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam :"Barangsiapa yang sengaja berdusta atas (nama)ku, hendaklah ia mengambil tempat tinggalnya di neraka".[Musykilul Atsar (1/176)]

    Di dalam lafaz "Barangsiapa yang meriwayatkan dariku satu hadis padahal ia telah menyangka (zhan) bahwa hadis tersebut dusta", baginda tidak mengatakan bahwa ia telah yakin hadis itu dusta tetapi sekadar sangkaan semata-mata. Maka ianya menjelaskan, setiap orang yang ragu-ragu tentang apa-apa yang disandarkan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam samada sahih atau tidak sahih termasuk dalam kelompok yang dikhabarkan hadis tersebut sebagai para pendusta.

    è Perkara Yang Perlukan Perhatian

    Dalam kita ghairah menyampaikan setiap hadis yang dibaca atau didengari, beberapa perkara perlu diberikan perhatian bagi memelihara kesucian hadis Nabi shallallallahu ‘alaihi wasallam. Perlu jelas bahawa hadis merupakan wahyu dan penerangan kepada al-Quran jadi adalah satu kewajipan untuk memeliharanya daripada pencemaran-pencemaran dan sikap sambil lewa. Antara perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya berniat menyebarkan hadis adalah:

    1. Menyampaikan hadis dengan niat yang ikhlas dan cara yang benar.

    Tafsiran Fudhail bin I'yadh rahimahullah terhadap surah al-Mulk 67:2 dalam menjelaskan konsep ikhlas dan benar adalah:

    Yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: "Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin I'yadh), apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas?" Jawab Fudhail bin I'yadh: "Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas nescaya tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amalan itu atas dasar sunnah" [ Dinukil daripada kitab al-Masaa'il (masalah-masalah agama), Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, JIL. 2 ms. 258]

    Pada pandangan penulis, mengelakkan daripada melakukan apa yang ditegah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga merupakan satu amalan atas dasar sunnah dan merupakan amalan yang benar dan ini termasuklah tidak menyampaikan hadis baginda dengan hentam keromo.

    2. Menyatakan sumber rujukan hadis.

    Ini merupakan unsur yang paling perlu diberi perhatian dalam menyampaikan hadis. Apatah lagi apabila hadis tersebut hanya ditulis maksudnya. Untuk mencari semula matan Bahasa Arabnya memerlukan masa sekiranya hadis tersebut jarang didengari atau zahir maknanya agak pelik. Adalah penting untuk kita tahu hadis yang ingin kita sampaikan tersebut diriwayatkan daripada siapa.

    Secara asasnya, sumber hadis yang utama adalah biasanya daripada Kutub as-Sittah (kitab yang enam) iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmizi, Sunan an-Nasa’i dan Sunan Ibnu Majah.

    Selain daripada Kutub as-Sittah terdapat kitab-kitab hadis yang lain yang biasa dijadikan rujukan seperti Sahih Ibnu Hibban, al-Mustadrak ‘ala al-Shahihin oleh al-Hakim, Sahih Ibnu Khuzaimah, Al-Muwwatha' Imam Malik, Musnad Imam Ahmad, Sunan Ad-Darimi, Al-Jami' Al-Saghir oleh Imam Suyuthi dan lain-lain.

    3. Mengetahui dan menyatakan darjat hadis.

    Untuk mengelakkan diri daripada terjerumus menjadi pendusta keatas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam seseorang yang ingin menyampaikan hadis perlulah tahu bahawa hadis itu benar-benar daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Disinilah peranan darjat sesuatu hadis. Ulama’ hadis telah membahagikan hadis kepada darjat-darjat tertentu yang mencerminkan ciri-ciri tersendiri. Penulis tidak akan membahaskan secara terperinci darjat-darjat hadis kerana ingin mengekalkan metode paling ringkas risalah ini. Untuk mengetahui dengan lebih terperinci pembaca boleh mendapatkan buku-buku yang membincangkan mengenai ilmu hadis. Namun yang paling utama kita perlu tahu adalah darjat sahih, hasan, dhaif dan maudhu.

    · Sahih - Hadis yang benar/betul.

    · Hasan - Memenuhi semua syarat hadis sahih kecuali perawinya kurang kuat daya ingatannya (tidak dhabit).

    · Dhaif – Hadis yang lemah. Sesuatu (hadis) yang hilang satu syarat dari beberapa syarat hadis yang maqbul (diterima).

    · Maudhu – Hadis palsu, dicipta oleh seorang pendusta kemudian disandarkan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, juga digelar Syaikhan (dua syaikh) disepakati menghimpun hanya hadis-hadis sahih sahaja hasil penyaringan ketat kedua ulama’ hadis tersebut. Namun bukan semua kitab hadis,samada yang disebutkan di atas atau tidak (selain Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim) mengandungi hadis-hadis sahih sahaja. Penilaian para ulama’ menyatakan bahawa kitab mereka turut mengandungi selain sahih termasuklah sebilangan kecil hadis lemah dan palsu. Oleh itu sesiapa yang berminat menyampaikan hadis selain daripada yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim perlu lebih berhati-hati dan mendapatkan semakan para ulama’ hadis yang menilai kembali darjat hadis-hadis tersebut. Selain itu ia juga bertanggungjawab menjelaskan darjat hadis tersebut untuk pengetahuan yang lain.

    4. Menerangkan tafsiran hadis daripada sumber yang muktabar.

    Berhujah dengan hadis atas tujuan tazkirah (peringatan) dan sebagainya adalah sesuatu yang baik, namun mentafsirnya tanpa rujukan baik daripada kitab muktabar atau ahli ikhtisas adalah berbahaya. Ini bukannya satu konkongan pemikiran tetapi untuk melakukan sesuatu adalah lebih baik merujuk kepada ahlinya. Untuk memahami sebuah hadis perlulah merujuk kitab-kitab muktabar sebagai contoh:

    · Fathul Bari oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam menghuraikan hadis-hadis daripada kitab Sahih al-Bukhari.

    · Minhaj oleh Imam an-Nawawi dalam dalam menghuraikan hadis-hadis daripada kitab Sahih Muslim.

    · Tuhfat al-Ahwadzi oleh al-Mubarakfoori dalam menghuraikan hadis-hadis daripada kitab Sunan at-Tirmizi.

    Bukan terhad kepada itu sahaja, bahkan banyak lagi kitab-kitab muktabar yang boleh dijadikan rujukan.

    Penutup Kata

    Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

    Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti… [al-Hujurat 49:6]

    Pengajaran jelas ayat di atas adalah supaya mengamalkan ketelitian dalam menilai setiap khabar berita apatah lagi hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mentafsir hadis mengikut selera sendiri dan berhujah dengan hadis tanpa mengetahui hadis tersebut benar-benar sahih dan thabit daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ataupun tidak hanya akan menyumbang kepada kerosakan syariat Islam itu sendiri. Sesiapa akan bebas berkata apa sahaja dan menyandarkan apa sahaja kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan akhirnya mencorak agama Islam mengikut selera masing-masing. Atas sebab itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mewasiatkan satu larangan keras agar kita berwaspada dan tidak menjadi agen dalam mencemari syariat Islam yang berdiri kukuh berasaskan al-Quran dan Hadis yang sahih.

     

    alFaisal
    Cyberjaya
    18 Jun 2006 / 21 Jamadil Awal 1427
    9.40 p.m


    Posted at 06:54 am by alFaisal
    Comments (2)  

     
    Sunday, May 14, 2006
    Shape yourself to be yourself

    Shape yourself to be yourself
    oleh : Faisal Arba'in

    Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Maha Penyanyang. Segala puji-pujian hanya kepada Allah, Pencipta sekalian alam. Aku naik saksi tiada tuhan selain Allah, dan Muhammad itu pensuruh Allah. Sungguh beruntung orang-orang yang menyucikan dirinya. Dan mengingati nama Tuhannya, lalu ia solat. [al-A'la 87:14-15].

    Be Yourself

    Apabila berkata tentang konsep be yourself maka ramailah antara kita melihat ia adalah konsep yang sangat baik. Namun kerana konsep ini jugalah ramai manusia yang tidak mahu berubah, tidak mendengar nasihat dan menjadikannya alasan untuk terus melakukan kejahatan. "Kita jangan buat something yang org suruh. Be yourself!". " Tak perlu lah nak tunjuk baik. Be yourself!", "Dah nie diri aku nak buat macam mana.." "Aku taknak jadi hipokrit! Be yourself". Begitulah suara-suara sumbang yang biasa kita dengar dari seseorang yang enggan memperbaiki diri mereka apabila diberi nasihat. Bagi saya konsep be yourself hanya akan menjadikan seseorang itu statik, mundur dan jumud di dalam pemikiran. Mereka menjadikan be yourself sebagai alasan untuk menutup sikap mereka yang takut untuk berubah dan menerima perubahan. Oleh itu, saya lebih gemar untuk menggunakan konsep shape yourself berbanding dengan be yourself.

    Shape Yourself

    Shape yourself menuntut seseorang itu untuk membentuk diri mereka dan bukannya membiarkan diri mereka dalam keadaan yang statik atau berubah dengan sendiri mengikut keadaan.Dan konsep ini sebenarnya telah pun ditekankan di dalam Islam.

    ...Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri... [ar ra'd 13:11]

    Ayat di atas sendiri menyuruh kita membentuk (shape) diri kita, dan kita tidak akan berubah dengan sendiri kecuali kita sendiri mahu akan perubahan tersebut.

    Shape Yourself tak semestinya baik

    Apabila seseorang itu membentuk (shape) dirinya, tidaklah menjamin seseorang itu akan menjadi baik. Boleh jadi perubahan yang berlaku itu menjadikannya lebih teruk. Oleh itu ke manakah sebenarnya yang cuba kita bentuk (shape) diri kita?Untuk mendapatkan jawapabnya, haruslah kita merujuk kembali kepada sumber rujukan utama kita iaitu al-Quran

    Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu [Asy Syams 91: 8-9]

    Itulah hari yang pasti terjadi. Maka barangsiapa yang menghendaki, niscaya ia menempuh jalan kembali kepada Tuhannya. [An Naba' 78:39]

    Shape yourself to be yourself

    Setelah meneliti semula konsep be yourself, masih lagi ada pengajaran yang boleh di ambil dari konsep ini. Konsep be yourself menuntut diri kita untuk menjadi/menunjukkan diri kita yang sebenar. Oleh itu kita juga harus mengenali dan kembali kepada diri kita yang asli iaitu kembali kepada fitrah.

    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
    Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak di lahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih). Kedua orang tuanyalah yang membuatkan menjadi Yahudi,Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahikan anaknya(dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong? (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad ibn Hambal)

    Fitrah manusia adalah Islam, oleh itu mereka yang berpegang kepada konsep be yourself haruslah sedar dan berusaha untuk kembali kepada Islam dan tujuan hidup itu sendiri.

    Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. [Adz Dzaariyat 51:56]

    Sekitar Hadith Pertama, Matan Arba'in

    Seperti mana yang telah saya kemukakan, mereka yang beralasankan be yourself untuk menolak nasihat sebenarnya beranggapan jika mereka berubah kerana terguran tersebut, seolah-olah mereka melakukannya kerana manusia (si penegur). Dalam fahaman mereka perkara ini adalah dilarang oleh Rasulullah seperti mana yang disebut di dalam hadith ini

    Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka Hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya maka Hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya [bukhari,muslim, an-nasaie, ibn majah, abu daud, ahmad]

    Adakah benar Rasulullah melarang seseorang untuk berubah (hijrah) kerana manusia? Hadith di atas adalah sahih tetapi pemahaman masyarakat terhadap hadith tersebut adalah salah. Harus diingat bahawa, apabila Rasulullah memberi teguran, teguran tersebut bukanlah untuk melarang individu tersebut untuk berbuat demikian, tetapi adalah untuk membetulkan kesalahan yang ada dan mengambil pengajaran daripada teguran tersebut. Oleh itu, dalam konteks ini, Nabi bukannya melarang sahabat tersebut dari berhijrah, tetapi menyuruhnya untuk membetulkan niatnya berhijrah. Maka , sikap yang benar yang patut kita amalkan ialah kita menetapkan dan membetulkan niat kita kerana Allah taala apabila ditegur sedemikian.Tambahan pula di dalam hadith tersebut, pemuda yang berhijrah kerana ingin berkahwin masih turut sama berhijrah. Namun di sana beliau menjadi muslim yang baik dan salah seorang sahabat Rasulullah. Bukankah ini juga salah satu pintu hidayah Allah? Bukankah Rasulullah juga menjadikan perkahwinan sebgai satu method dakwah?

    Jika manusia tidak boleh berubah kerana teguran manusia, maka sia-sialah Allah menghantar manusia (para nabi dan rasul) sebagai pemberi ingatan. .. Sia-sialah ibu bapa disuruh untuk mendidik anak-anak mereka dan sia-sialah suruhan Allah di dalam kitab-Nya yang menyuruh kita mengamalkan amar ma'ruf nahi mungkar. Sedangkan kerana suruhan tersebutlah kita disebut umat terbaik (al-Baqarah 3:110)

    Tips Shape Yourself

    Proses perubahan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi perlukan keazaman yang kuat. Di sini saya ada menyertakan beberapa tip dan galakan untuk berubah daripada Quran dan Sunnah Rasulullah.

    1. Sentiasa berusaha memilih perkara yang baik walaupun bertentangan dengan kebiasaan hidup kita.

    Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu [Asy Syams 91: 9]

    Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman), [a' A'la 87:87]

    2. Berusaha mengikhlaskan diri kita kepada Allah

    Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka karena Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar. [an nisaa' 4:146]

    Dan siapakah yang lebih baik agamanya dari pada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayanganNya [An-Nisaa' 4:125]

    3. Lakukan secara berperingkat. Tidak perlu berubah secara mendadak

    Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. [Alam Nasyrah 94:7]

    4. Selalulah berdoa kepada Allah supaya ditetapkan dalam usaha ini

    Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. [al-Baqarah 2:186]

    5. Yakinlah akan pertolongan Allah dalam proses perubahan

     Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.[al-Ankabut 29:69]

    6. Jika kita terkandas (mengulangi dosa tersebut) semasa dalam usaha perubahan, cepat-cepat bertaubatlah dan kemudian menyambung usaha tersebut

    Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Maaidah 5:39)

    Kesimpulan

    Oleh itu marilah kita sama-sama berusaha untuk merubah diri kita. Janganlah kita takut untuk berubah. Janganlah kita menutup hati kita apabila mendapat teguran atau nasihat daripada sesiapa pun. Dan tetap yakinlah kepada Rahmat Allah. Sebagai penutup saya sajikan sebuah hadith yang menunjukkan bertapa kasih dan sayangnya Allah kepada kita..

    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda tentang apa yang baginda terima dari Allah s.w.t katanya: Seorang hamba Allah melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: HambaKu telah melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Oleh itu buatlah sesuka hatimu, Aku akan ampunkan dosamu. Hamba tersebut berkata: Aku tidak tahu sehingga kali ketiga atau keempat aku meminta keampunan, tetapi Allah s.w.t tetap berfirman: Buatlah sesuka hatimu, Aku tetap akan mengampunkan dosamu (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

    Hadith ini bukanlah menunjukkan kita boleh melakukan apa sahaja dosa dan kemudian meminta ampun, tetapi menunjukkan bertapa sayangnya Allah kepada kita, Dia memberikan seberapa banyak perluang yang kita perlukan untuk memperbaiki diri kita. Oleh itu, jika kita terkandas ketika dalam proses perubahan ini, yakinlah bahawa Allah sentiasa mengampunkan kita selagi mana kita ikhlas dalam ingin berubah.(al-Isra' 17:25).Akhir kata, penulisan ini adalah hasil kajian dan pemahaman penulis, dan sebagai manusia, penulis tetap melakukan kesilapan. Jika terdapat pemahaman yang silap, maka perbaiki lah, dan tegurlah kesilapan itu. Jika pemahamanku silap, aku menariknya semula semasa hidupku atau sesudah matiku

    Wallahu'alam


    Posted at 03:42 pm by sabau
    Comments (2)  

     
    Saturday, May 13, 2006
    Mari Bace Quran

    Mari baca Quran
    oleh: Faisal Arba'in

    Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Pemurah. Segala puji bagi Allah. Aku memohon keampunan dan perlindungan daripadaNya dari kejahatan diri dan keburukan amalan.'Maha Suci Engkau! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana'[QS 2:32]

       

    Alhamdulillah pada hari ini kita semua masih beriman kepada Kitab yang telah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad . Namun alangkah sedihnya jika keimanan kita cumalah setakat menghormatinya. Dan penghormatan kita terhadap al-Quran hanya sekadar menggantungnya di dinding-dinding (sebagai hiasan) ,meletakkannya di tempat yang paling tinggi (seperti di atas almari paling atas), membalutnya dengan kain (supaya tidak berhabuk) dan lain-lain lagi. Jarang-jarang sekali untuk kita mengaji al-Quran apatah lagi untuk mengkaji Quran. Sedangkan Allah telah memperkenalkan al-Quran ini dengan pelbagai manfaat kepada manusia.

       

    Profil al-Quran

     

    Kitab (al-Quran) ini, tiada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. [al-Baqarah 2:2]

     

    Al-Quran telah memperkenalkan dirinya sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Namun, adakah kita yang mengaku sebagai orang-orang yang bertaqwa mengambil al-Quran sebagi petunjuk?

     

    Wahai manusia! Sesungguhnya telah sampai kepada kamu bukti kebenaran daripada Tuhanmu (Muhammad) , dan telah Kami turunkan cahaya yang terang benderang (al-Quran).[an-Nisaa' 4:174]

       

    Al-Quran juga adalah nur(cahaya) yang akan menerangi manusia dalam melalui jalan-jalan kehidupan kita. Al-Quran adalah seolah-olah lampu yang menerangi kita untuk melalui jalan yang serba gelap. kita teraba-raba dalam kegelapan itu.Dan al-Quran lah yang akan menerangi kita supaya jalan-jalan yang kelam itu menjadi jelas kelihatan.

       

    Wahai manusia!Sesungguhnya telah datang kepada kamu pelajaran (al-Quran) dari Tuhanmu, penyembuh kepada penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.[Yunus 10:57]

       

    Al-Quran adalah penyembuh kepada segala penyakit jiwa; daripada perasaan hasad dengki, cintakan dunia, riak dan lain-lain. Al-Quran akan membentuk akhlak diri kita dengan akhlak yang baik.

     

    Bulan Ramadan adalah (bulan) yang didalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bg manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan furqan (pembeza antara yang benar dan yang batil)...(sampai penghujung ayat) [al-Baqarah 2:185]

       

    Al-Quran bukan sahaja diturunkan sebagai petunjuk, malah memberikan penjelasan kepada petunjuk itu. Al-Quran juga di turunkan untuk mengajarkan manusia untuk  membezakan antara yang benar dan yang salah.

       

    Mari kembali kepada al-Quran

       

    Sudah jelas bahawa al-Quran ini adalah panduan bagi manusia khususnya muslim. Kita beriman kepada Allah, kita mengaku seorang muslim, dan kita beriman kepada al-Quran, oleh itu marilah kita kembali kepada al-Quran sebagai petunjuk dan panduan hidup kita.

       

    Dan sekiranya al-Quran Kami jadikan sebagai bacaan dalam bahasa selain bahasa arab, nescaya mereka akan mengatakan "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya?" Apakah patut (al-Quran) ini dalam bahasa selain Arab sedang (rasul),orang arab? Katakanlah, al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh kepada orang-orang yang beriman.Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka sumbatan, dan (al-Quran) itu merupakan kegelapan bagi mereka. Mereka itu (seperti) orang-orang yang dipanggildari tempat yang jauh.[Fussilat 41:44]

     

    Adakah kita orang yang mengambil al-Quran sebagai petunjuk dan penyembuh? atau adakah kita orang yang menyumbat telinga kita apabila mendengar kalimah-kalimah Allah ini?

       

    Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran Allah Yang Maha Pemurah (al-Quran), Kami biarkan syaitan (menyesatkannya) dan menjadi teman karibnya. Dan sungguh mereka (syaitan-syaitan) benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk. [az-Zukhruf 43:36-37]

       

    Tidak mengendahkan pengajaran al-Quran boleh dianggap sebagai orang yang apabila datangnya peringatan dari al-Quran, lalu dia mengendahkannya. Selain itu, mereka yang langsung tidak mengambil peduli tentang al-Quran (tidak membaca dan mengkaji al-Quran) juga termasuk dalam golongan ini. Semoga Allah selamatkan kita daripada tergolong dari golongan ini.

       

    akhir kata, mari kita ambil ayat ini sebagai renungan kita.

       

    Dan sungguh Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan, maka adakah orang mahu mengambil pelajaran (daripadanya)?[al-Qamar 54:17]

       

    Ayat ini Allah telah ulanginya sebanyak 4 kali di dalam surah yang sama (iaitu ayat 17,22,32, dan 40). Adakah kita mengambil pelajaran daripadanya?


    Rujukan : Mari berkenalan dengan al-Quran tulisan Hafiz Firdaus


    Posted at 04:56 am by sabau
    Make a comment  

     
    Friday, May 12, 2006
    Mooslim Yang Baik
    Moosleem Yang Baik (Being a Good Muslim)

     

    Tahu atau tidak, perasan atau tidak, ini adalah hakikat ! Menjadi muslim adalah satu nikmat terhebat sepanjang kehidupan kita. Tetapi, sedarkah berapa nilai kesyukuran kita kepada Allah , yang menyenaraikan kita sebagai salah seorang muslim di muka bumi ini?

    Kita ada jenama sendiri. Apabila pergi kelas, membeli belah, bersukan dan sebagainya,kita adalah manusia berjenama muslim. Jangan lupa tu!

     

    Siapakah muslim?

     

    Muslim ialah :

     

    1. muslim : orang (lelaki) yg beragama Islam; 

     

    2. memuslimkan :1. menjadikan sesuatu bercirikan Islam: serba-serbi mesti dimuslimkan, dibersihkan di dalam dan di luar; 2. menjadikan seseorang muslim; 

     

    3. kemusliman : ketinggian darjat seseorang sbg orang muslim: ~ seseorang insan. 

     

    Muslim juga bermaksud, individu yang mengabdikan diri, menyembah, kepada Tuhan yang satu, iaitu Allah swt.

     

     

    Bukankah muslim atau mukmin itu tetap manusia? Pasti akan ada silap dan salah.

     

    Mukmin atau tidak kita, jangan lupa bahawa kita muslim, dan muslim adalah imej kepada islam itu sendiri. Islam itu kan baik? Mahu atau tidak, kenalah jadi muslim yang baik, seperti yang Rasulullah beritahu dan gariskan kepada kita.

     

    Ciri Muslim yang baik?

     

     

    1. Mencintai Allah dan Rasul melebihi yang lain-lain

     

    Mencintai Allah bukan sahaja bermaksud melakukan semua ibadah yang disuruh dan meninggalkan larangan, tetapi mencintai Allah adalah dengan menjadikan Allah sebagai tempat sandaran sepenuhnya, bukan 90% atau 95%, tetapi 100%. Bersandar kepada Allah sepenuhnya bermaksud kita hanya berharap kepada-Nya, tanpa bantuan makhluk walau sedikit. Senang beginilah, 'kalau takda orang tu pun takpa ,Allah kan ada'. Kadang-kadang kita terlalu bergantung kepada manusia sehingga satu tahap kalau tiada orang tersebut, maka punahlah hidup, punahlah organisasi, punahlah segalanya. Itu bukanlah ciri muslim yang baik.

     

    Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah bersabda : Belum sempurna iman seseorang sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, bapanya dan kepada manusia semuanya. (Muslim)

     

    Cinta atau mahabbah ada tiga jenis : 1) Cinta kerana hormat dan mengagungkan seperti cinta anak kepada ayahnya. 2) Cinta kerana kasih sayang seperti cinta ibu kepada anak, dan 3) Cinta kerana kesedaran bahawa cinta itu adalah satu hal yang baik (ihtihsan). Maka, cinta kepada Rasulullah meliputi ketiga-tiganya, bahkan lebih mendalam lagi. (Syarah an-Nawawi, I:219)

     

    Cinta dan berkasih sesama makhluk itu adalah fitrah yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun. Tetapi cinta yang manakah yang patut ditakluki oleh muslim? Inilah yang dikatakan sebagai cinta kepada makhluk kerana Tuhan-Nya. Juga kerana menyambut pengorbanan dan kasih sayang Rasulullah sebagai pesuruh Allah. Bermakna, apa yang Tuhan suruh, Rasul ajar, itulah yang menjadi jalan kepada cinta sesame makhluk, tak kiralah cinta kepada keluarga, sahabat, atau yang lain-lain.

     

     

     

     

     

    2. Amar Maaruf Nahi Mungkar

     

    Amar makruf nahi mungkar bermaksud, buat baik dan tinggalkan yang tidak baik. Apa yang baik dan apa yang tidak baik? Siapa yang tentukan baik buruk perbuatan kita? Tentulah agama itu sendiri. Kalau kita yang tentukan sendiri perbuatan tersebut baik atau tidak, saya akan mencuri telur ayam 10 biji dan menyatakan bahawa mencuri itu baik dan untuk ibu saya yang mahu menyediakan sarapan pagi untuk saya. Tetapi agama Islam ajar bahawa mencuri itu adalah salah. Jadi, nak tahu apakah yang baik atau tidak, semua ada dalam al-quran. Kita sahaja yang kurang membaca, malah ramai yang tak baca langsung pun. Simpan dan tayang dalam almari kaca, dan berhabuk . Ada yang baca setiap tahun khatam, tapi tak pernah ambil tahu satu isi kandungan pun. Susah lah untuk jadi muslim yang baik.(nasihat untuk diri sendiri)

     

     

    Dari Thariq bin Syihab ra dari Abu Bakr ra katanya,

     

    Maksudnya : "Aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda :"Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika sekiranya dia tiada berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya, jika sekiranya dia tiada juga berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya, dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya ) adalah selemah-lemah iman."

    (Hadis riwayat Muslim)

     

    Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya Fath al-Mubin li Syarh al-Arba'in dalam mensyarah kalimat (fabiqalbih=dengan hatinya) di dalam hadis yang tersebut di atas bahawa mengingkari dengan hati itu ialah : "Membenci akan kemungkaran itu dengan hatinya dan dia berazam jika dia berkuasa (mengingkarinya) dengan kata-kata atau perbuatan,(nescaya) dia akan menghapuskannya, kerana membenci maksiat wajib hukumnya. Maka orang yang redha (tidak membenci) maksiat adalah (dikira) bersekutu dan bersubahat dengan orang yang melakukan maksiat itu. Jika redhanya itu kerana menghalalkannya (beri'tiqad bahawa kemaksiatan itu tidak haram) sedangkan hukum kemaksiatan itu haram dengan ijma' dan telah diketahui umum iaitu ma'lum min ad-din bi adh-dharurah, maka dia dihukumkan kufur. Manakala jika redhanya itu kerana menurutkan hawa nafsu ( tidak beri'tiqad bahawa kemaksiatan itu tidak haram), maka dia dihukumkan fasiq, tidak kufur dengannya. Perkara ini ( membenci kemungkaran) adalah wajib 'ain ke atas setiap orang kerana semua orang berkuasa pada melakukannya".

     

     

     

     

     

    3. Menjaga lidah dan perbuatan

     

    Ini adalah sangat penting, atas dasar bahawa apa yang kita cakap atau buat, itulah yang dinilai sebagai diri kita. Contohnya, Ali berkata ' Manchester United bongek!' Ungkapan itu menunjukkan Ali tidak menggemari pasukan bola sepak Manchester United. Kalau member kita cakap,'Aku nak pi Zouk malam ni, nak join??'. Dari ungkapan tersebut secara zahirnya menunjukkan bahawa  member kita itu  tidak mengikut jalan Islam yang sebenar walaupun hanya tidak sampai 10 perkataan pun.

     

    Kadang-kadang kita lupa, lidah juga adalah asset yang berpotensi untuk dipotong di akhirat kelak. Dengan membawa berita yang kurang pasti tentang seseorang kepada orang lain, apabila sampai kepada orang yang kesepuluh, ceritanya sudah berputar 180 darjah. Biasanya , kita akan pesan kepada orang yang kita ceritakan ,' Weh, ni jangan bagitau orang lain tau. Rahsia!!' Tetapi kita bagitau kepada semua sahabat-sahabat kita tentang rahsia tersebut, dan mengulangi kenyataan tadi. Rahsia kini sudah jadi Rahsia Awam(Public Secret). Yang lebih sedih andai rahsia tersebut tidak benar dan menjadi fitnah . Sama-sama dapat dosa, sama-samalah bertaubat insyaAllah.

     

    Rajah di bawah menunjukkan contoh penyampaian berita rahsia yang boleh membawa kepada fitnah.

     

     

     

    Dari Abdullah bin Amr bin Ash ra katanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw : "Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik? Jawab Rasulullah saw : Ialah orang-orang yang menjaga orang islam yang lain dari bencana lidah dan perbuatannya."(Muslim)

     

     

     

     

     

     

    4. Mencintai tetangga melebihi dirinya

     

    Dari Abu Hurairah ra katanya Rasulullah bersabda : Siapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka janganlah dia menyakiti tetangganya. Dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya(muslim)

     

    Syeikh Utsaimin berkata, ''Tetangga adalah orang yang tinggal berdekatan dengan rumahmu atau jaraknya dekat dengan rumahmu. Ada atsar yang menunjukkan bahwa tetangga adalah empat puluh rumah (yang berada di sekitar rumah) dari setiap penjuru mata angin. Sehingga tidak diragukan lagi bahawa yang berdekatan dengan rumahmu adalah tetangga. Apabila ada khabar yang benar (tentang penafsiran tetangga) dari Rasulullah, maka itulah yang kita pakai; namun apabila tidak, maka hal ini dikembalikan pada 'urf (adat kebiasaan), yaitu kebiasaan orang-orang dalam menetapkan seseorang sebagai tetangganya.' Kitab Syarah Riyadhus Shalihin: V/204-205.

     

    Ada tiga jenis Tetangga :


    Pertama, Tetangga muslim yang masih mempunyai hubungan kekeluargaan. Tetangga semacam ini mempunyai tiga hak: Sebagai tetangga, Hak islam dan Hak kekerabatan;

    Kedua, Tetangga muslim saja. Tetangga semacam ini mempunyai dua hak: Sebagai tetangga dan Hak islam;

    Ketiga, Tetangga kafir. Tetangga semacam ini hanya mempunyai satu hak, yaitu tetangga saja.

     

    Dan menjadi tugas kita untuk berdakwah kepada mereka sebaik mungkin kerana siapa tahu,Allah membukakan pintu hatinya untuk menerima Islam . Mungkin dengan menunjukkan akhlak yang baik, ciri-ciri muslim yang baik, mereka terpikat dengan Islam itu sendiri.

    Persoalan :Adakah kita memberi hak islam terhadap tetangga muslim kita? Adakah kita memberi hak bukan Islam terhadap tetangga kita yang bukan beragama Islam?

     

    Mungkin dalam persekitaran universiti, boleh kita kaitkan dengan jiran hostel, atau jiran rumah sewa dan tempat tinggal kita. Boleh juga kita kategorikan kawan sebilik/kawan serumah sebagai tetangga kita.

     

    Dalam menjaga perhubungan dengan tetangga, perkataan toleransi dan memahami sangatlah penting . Dengan toleransi dan memahami, dapatlah kita elakkan daripada pergaduhan atau pertengkaran dengan mereka. Jika berlaku salah faham, ucapan maaf adalah ubat yang terbaik. Jangan segan, malu atau egoistik dalam meminta maaf, kerana dengan meminta maaf, anda adalah pemenang, menewaskan ego diri sendiri dan ego orang lain.Kata-kata Luqman al-Hakim : " Tidaklah dapat kita mengenal orang melainkan pada tiga keadaan, iaitu tidak dapat kita ketahui orang pemaaf melainkan ketika dia marah, tidak dapat diketahui orang yang berani kecuali ketika dia berjuang dan tidak dapat dikenali seorang sahabat, melainkan ketika kita dalam kesusahan".

     

    Kesefahaman dengan tetangga penting , kerana mungkin kita memerlukan bantuan atau pertolongan mereka pada masa akan datang. Kalau kita ego, segan dan malu untuk berhubung baik dengan mereka, pasti kita akan malu, segan dan ego juga untuk meminta bantuan dengan mereka nanti.

     

    Harus juga diingat, toleransi itu ada had dan tempatnya. Andai melampau batas, bertindaklah dengan bijak. Jangan menunjukkan kebodohan kita atas kesilapan orang lain.

     

     

     

     

     

    5. Beri salam kepada orang yang kita temui.

     

    Dari Abu Hurairah ra katanya Rasulullah bersabda: "Kamu tidak dapat masuk syurga sebelum kamu beriman.Dan kamu belum dapat dikatakan mukmin sebelum kamu kasih mengasihi antara satu sama lain. Sukakah kamu aku tunjukkan jalan untuk berkasi-kasihan? Galakkanlah salam antara kamu"(Muslim)

     

    Memberi salam kepada muslim lain ibarat menghadiahkan bunga mekar yang tidak akan layu. Kadang-kadang persepsi buruk seseorang terhadap kita, secara automatik akan berubah sekiranya kita memberi salam beserta senyuman kepada orang tersebut. Kalau tak percaya,boleh cuba. Bukan susah, nampak muslim lain, senyumlah , dan beri salam yang mudah beserta perasaan rendah diri . Assalamualaikum!. Kalau ramai sangat yang terserempak dengan kita sepanjang jalan, mungkin kita boleh senyum sahaja jika terpandang mereka.

     

    Mungkin ucapan salam boleh digantikan dengan menyapa sahabat yang bukan islam atau sahabat yang berada dalam lingkungan jahiliyyah dalam diri mereka. Sapalah, hi!, atau hello!, atau pun good morning, good luck, atau lebih mudah, angkat tangan sebagai tanda kita tidak sombong dan menunjukkan bahawa Islam menggalakkan berhubung baik sesame manusia, asalkan tidak lari dari landasan syariat.

     

    Dari Abdullah bin Amr ra katanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw, "Islam yang bagaimanakah yang baik?" jawab Rasulullah saw, " Memberi salam kepada orang yang anda temui, baik yang anda kenal atau tidak kenal."(Muslim)

     

    -Huzaifah

    10 May 06

     

     

    Rujukan

     

    Riwayat Muslim (bab Muslim yang baik)

     

    www.wikipedia.org

     

    www.muslim.or.id

     

    ww.dbp.gov.my

     

    Syarah an-Nawawi

     

    Riyadh As-Salihin

    ___________________________________________________________________________


    Posted at 12:10 pm by Howevergreen
    Make a comment  

     
    Monday, May 08, 2006
    CIRI MUSLIM CEMERLANG #1: Memahami Agama Islam.

    Untuk membaca muqaddimah bagi topik ini klick .:MUQADDIMAH:.

     

    CIRI MUSLIM CEMERLANG #1: Memahami Agama Islam.

     

    Sesiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Dia akan memberinya kefahaman dalam agama. [ Dikeluarkan al-Bukhari didalam Shahihnya hadis no: 71]

     

    Tidak dapat dielakkan, untuk seorang Muslim menjadi cemerlang tentunya dia perlu memahami Deen (agama dan cara hidup) yang akan membantunya menjadi cemerlang iaitu Islam. Apakah yang dimaksudkan memahami? Menurut kamus dewan perkataan faham membawa makna pengetahuan dalam fikiran mengenai sesuatu manakala perkataan memahami bermaksud tahu dan mengerti benar akan sesuatu. Jadi boleh penulis simpulkan memahami Islam bermakna mengerti dengan pengetahuan akan Islam.

    Adakah sama mengerti dengan mempunyai pengetahuan yang mendalam berbanding sikap kita terhadap Islam selama ini lebih sekadar menghafal bulat-bulat dan mengikut secara samberono? Pada pandangan dan pengalaman penulis pendidikan Islam di kebanyakan sekolah hari ini menekankan kita menghafal jenis-jenis air, jenis-jenis najis, rukun-rukun wudhu namun jarang kita didedahkan dengan kaedah memahami dengan pengetahuan.

     

    SIKAP DALAM MEMAHAMI AGAMA ISLAM

     

    Umat Islam hari ini yang lebih cenderung untuk terus kekal di dalam zon selesa dalam pencarian ilmu agama .Kebanyakannya berasa cukup dengan apa yang pernah dipelajari di sekolah lama dahulu. Lebih parah ada merasakan ilmu agama adalah hak milik golongan tertentu sahaja dan tidak perlulah kita yang bukan golongan menyibukkan diri mendalami ilmu-ilmu agama dengan lebih mendalam. Ini sungguh bertentangan dengan sikap kebanyakan kita terhadap  ilmu dunia. Demi mengejar  kecemerlangan, ilmu duniawi kita bergerak cergas selepas satu tahap ke satu tahap. Selepas tadika kita ke sekolah rendah, seterusnya ke sekolah menengah dan hampir semua akan berhasrat untuk terus memperkembangkan pengetahuan di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

    Di IPT, kaedah pembelajaran juga akan turut berubah. Jika di sekolah kita lebih cenderung disuap ilmunya dan kita terima tanpa pandangan yang kritis, tetapi di IPT kita selalunya terpaksa melalui proses belajar, mengkaji dan menganalisis (akan disentuh pada ciri yang berikutnya) dan tentunya proses-proses ilmiah tadi akan memantapkan ilmu yang sedia ada. Alangkah indahnya jika ilmu agama kita turut bergerak maju seperti itu. Berusaha memantapkan ilmu agama yang sedia ada sebagaimana kita berusaha memantapkan ilmu duniawi apabila melangkah ke IPT. Namun boleh dilihat kebanyakan umat Islam hari ini, ilmu duniawinya tidak dibiarkan kekal statik atau beku, tetapi ilmu agamanya dibiarkan kekal di tampuk lama dan terus menerus mempraktikkan apa yang dipelajarinya suatu masa dahulu tanpa usaha membawanya ke satu tahap pemahaman yang lebih baik. Sekiranya A yang dipelajari suatu masa dahulu maka A sahajalah tahap pemahaman terhadap agama tanpa mahu melakukan perubahan. Ini tidak akan membantu untuk benar-benar memahami Islam dan secara tidak langsung menyekat salah satu ciri kearah kecemerlangan.


    Sebagai contoh lagi, sekiranya dahulu rukun-rukun solat diketahui melalui buku teks Pendidikan Islam atau buku Penilaian Asas Fardhu Ain maka apabila usia semakin meningkat, tahap pendidikan semakin meningkat, pemahaman terhadap solat juga sepatutnya lebih mendalam. Adalah rugi sekiranya ilmu duniawi kita semakin berkembang tetapi pemahaman terdahap ilmu Islam kita statik. Penulis ambil contoh pemahaman terhadap solat, sebahagian kita masih mengikut secara taqlid (mengikuti suatu pendapat tanpa mengetahui dalil atau hujah di sebaliknya) dengan buku-buku yang sesuai untuk pemahaman pelajar skolah rendah. Untuk berada di tahap faham, adalah perlu sekiranya kita sujud contohnya, kita tahu bagaimanakah cara sujud Nabi shallallahu alaihi wasallam (yakni melalui hadis-hadis Nabi yang sahih) dan mengapa perlu mengikut cara Nabi sujud dan cara Nabi bersolat.

    Allah Subhana wa Taala berfirman:

    قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ ﴿۳۹

    Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna. [Az-Zumar 39:9]

    Peningkatan dalam perkembangan ilmu agama kita dalam usaha memahami agama Islam sebenar-benarnya adalah sangat penting. Secara tidak langsung, dengan meningkatnya ilmu Islam dan memahami agama dengan lebih mendalam, ini akan membantu kita lebih menyintai Islam, lebih seronok beribadat, dapat melihat Islam dari satu sudut yang lebih segar dan juga memupuk kecemerlangan diri dan pemikiran.

     

    Akan datang: CIRI MUSLIM CEMERLANG#2

    alFaisal
    Cyberjaya
    4 Mei 2006 / 5 Rabiul Akhir 1427
    7:00 p.m.

    Disunting oleh: saudari miszleen.


    Posted at 07:31 pm by alFaisal
    Comments (2)  

     
    Saturday, May 06, 2006
    Perbincangan Tentang Pendapat Membenarkan Perempuan Dalam Keadaan Haid Berada Di Dalam Masjid

    Berikut adalah lontaran pendapat seorang saudara berhubung post saya yang menghimpun pendapat yang membenarkan wanita dalam keadaan haid memasuki masjid, yang juga merupakan pendapat Sheikh Dr. Yusuf al-Qardhawi. Maka saya terpanggil bukan untuk membahaskan tetapi sekadar memberi lontaran pendapat juga dan pada masa yang sama menyertakan hadis-hadis yang dimaksudkan oleh saudara tersebut. Moga dengan ini Allah memperkayakan ilmu kita insyAllah.

    Hadith yang melarang, walaupun lemah pada sanadnya, akan tetapi bila dikumpulkan petunjuk dari hadith-hadith yang lain, maksudnya menjadi kuat semula.

    (1) Hadith berkenaan Haji. (Sila rujuk Sahih Bukhari Muslim, Abu Dawwod, Muwatta Imam Malik). Semasa haji wida', Ummul Mukminin, Aishah berada dalam keadaan haid dan baginda tidak melaksanakan tawaf dan sa'i.

    alFaisal: Hadisnya adalah,

    “Lakukan apa yang telah dilakukan oleh orang haji kecuali jangan bertawaf di Ka’abah sehingga kamu bersuci.” [ Dikeluarkan Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari - no. 1650 dan Imam Muslim dalam Shahih Muslim – no: 1211]

    Dalam hadis di atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melarang ‘Aisyah untuk masuk ke masjid dan sebagaimana jamaah haji boleh masuk ke masjid maka demikian pula wanita haid (boleh masuk masjid). Yang dilarang adalah hanya melakukan tawaf. Berkenaan sa’i pula, yang saya temui hanya hadis yang melarang tawaf. Mungkin boleh sertakan matan dan rujukan lengkap hadis tersebut.

    (2) Hadith berkenaan sambutan dua Aidil (AidilFitri dan AidilAdha), yg menggalakkan perempuan keluar sekali merayakan Aidil. Perempuan yang dalam keadaan haid diasingkan dari tempat solat sunat hari raya.

    alFaisal:

    “Suruhlah keluar wanita-wanita dan anak-anak gadis yang berada di dalam rumah (kepada solat dua hari raya) supaya mereka dapat menyaksikan kebaikan dan seruan orang mukmin, dan jauhilah wanita haid daripada mushalla (tempat lapang solat Hari Raya).” [Shahih al-Bukhari – no: 1652, (Kitab al-Haj)]

    Terdapat pendapat menjelaskan mushalla di dalam hadis diatas adalah merujuk kawasan lapang yang dijadikan tempat untuk solat sunat hari raya dan bukannya masjid. Tujuan (illat) arahan menyuruh wanita haid menjauhi mushalla adalah untuk memberi keutamaan kepada mereka yang boleh bersolat dan mengelakkan terputusnya saf apabila wanita haid dan tidak haid berkumpul beramai-ramai di padang lapang tersebut.

    (3) Hadith Aishah yang dikemukakan oleh sahabat-sahabat yang Rasulullah menyuruhnya mengambil tikar di masjid. Jawapan balas Aishah dalam hadith tersebut menunjukkan terdapat larangan wanita haid utk masuk ke dalam masjid.

    alFaisal: Hadis tersebut berbunyi,

    Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepadaku: “Ambilkan timba buat ku dari masjid! Jawabku: “Aku haid..” Maka ujarnya: “Haid mu itu bukan terletak dalam tanganmu”[Hadis Riwayat Jama’ah kecuali Bukhari]

    Kalau dilihat hadis tersebut menerangkan sebaliknya, Aisyah yang menyangka wanita haid tidak boleh memasuki masjid tetapi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah membetulkan pemahamannya bahawa tubuh wanita haid (contoh diberikan adalah tangan) bukanlah kotor sehingga melarangnya daripada memasuki masjid.

    Jawapan Rasulullah pula membuka ruang kelonggaran yang selari dan senada dengan maksud ayat Quran 4:43 dalam larangan terhadap org dlm junub masuk ke masjid. Dalam ayat tersebut itu juga terdapat kelonggaran iaitu "kecuali untuk lalu".

    Di baca ayat tersebut dan hadith Aishah ini, menjelaskan yang hukum haid sama keadaan dengan hukum dlm janabah.

    Ada juga ulama (di kalangan kontemporari) yang mencari penyebab atau illat kepada larangan tersebut, seperti tiada haid di tangan. Jadi memakai lampin wanita yang tidak bocor telah menghilangkan "penyebab" larangan itu. Namun, ada yang mengatakan tidak terhilang "penyebab" akibat memakai lampin kerana ini tidak terjadi pula kepada yang berjunub.....

    alFaisal: Sekali lagi perlu jelas tiada qiyas (analogi) bagi sesuatu yang sememangnya wujud pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Haid dan junub kedua-duanya wujud pada zaman baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.

    a. Qiyas hanya untuk mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak terdapat di zaman turunya wahyu. Perkara baru yang wujud selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (tiada pada zaman Nabi), maka disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Manakala haid bukanlah perkara baru. Haid sememangnya wujud zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Sekiranya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melarang perempuan haid daripada menyentuh, membaca al-Quran dan memasuki masjid maka tidak perlu diwujudkan larangan tersebut.

    b. Haid dan junub adalah dua perkara berbeza. Seseorang yang berada dalam keadaan junub boleh membuat pilihan samada untuk berada dalam keadaan junub ataupun tidak. Boleh juga memilih untuk keluar daripadanya (dengan mandi wajib) pada bila-bila masa. Sedangkan haid bermula dan berakhir tanpa pilihan. [Fiqh Perundangan Islam, Dr. Wahbah Zuhaili (bab perbezaan atara haid dan junub), DBP, JIL. 1, ms.451]

    (4) Dalam hadith mengenai perkara membatalkan solat, ada menyebutkan solat terbatal jika dilewati perempuan haid, keldai dan anjing hitam. Hadith Riwayat Muslim, Abu Dawood dan Ibnu Khuzaimah (Saya temui hadis ini dlm buku Sifat Solat Nabi, karangan Al-Bani.

    alFaisal:

    1. Hadis yang dimaksudkan berbunyi:

    “Shalat seorang menjadi putus kerana dilewati perempuan [haidh], keldai, dan anjing hitam bila di hadapannya tidak diletakkan pembatas sejenis pelana.” [Hadis daripada Abu Dzar. Dikeluarkan oleh Muslim, Abu Dawud dan Ibn Khuzaimah (1/95/2). Lihat juga kitab Tahdziru as-Sajid min Ittikhadzi al-Quburi al-Masajid dan Ahkamul al-Janaiz Wabid’auha. Dinukil daripada Sifatus Solatun Nabi Sheikh Nasr al-Din al-Albani]

    Namun tertannya-tanya mengapa disembunyikan penjelasan Sheikh Nasr al-Din al-Albani di dalam kitabnya tersebut. Di notakaki dalam menjelaskan hadis tersebut di dalam Sifatus Solatun Nabi, Sheikh al-Albani menyatakan ‘haidh’ di situ bermaksud perempuan yang sudah dewasa. Ini turut menepati matan sebuah lagi hadis dimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

    “Apabila seseorang kamu bersolat, hendaklah dia meletak penghadang di hadapannya sepanjang pelana unta. Jika tidak diletakkan penghadang di hadapannya sepanjang pelana unta maka sesungguhnya solatnya akan terputus kerana keldai atau wanita atau anjing hitam (yang melintas di hadapannya).” [Hadis daripada Abu Dzaar radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’i, Ibn Majah dan lain-lain, di atas dengan lafaz Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 510 (Kitab Solat, Bab Kadar penghadang solat).]

    Matannya menyebut…

    ﺍﻟﺤﻤﺎﺭ ﻭﺍﻟﻤﺮﺃﺓ ﻭﺍﻟﻜﻠﺐ

    “keldai atau wanita atau anjing hitam” dan di dalam matan tersebut cuma dinyatakan perempuan (ﺍﻟﻤﺮﺃﺓ).

    2. perkataan “solatnya terputus” sendiri mempunyai beberapa kepelbagaian pendapat. Terdapat pendapat yang menyatakan “putus” bukanlah bererti solatnya batal dan tidak sah tetapi bererti terputus (terganggu) daripada kekhusyukan atau terputus (terhenti) hubungan dengan Allah ‘Azza wa Jalla. Boleh rujuk mana-mana kitab fiqh atau syarah hadis bagi mengetahui lebih lanjut mengenai perbahasan ini.

    3. Sekiranya kita mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah perempuan berkeadaan haid dan sekiranya kita juga menerima pendapat bahawa ‘putus’ di dalam hadis tersebut bermakna batal. Pada masa yang sama mengatakan hadis tersebut adalah petunjuk perempuan haid dilarang masuk masjid kerana mampu membatalkan solat orang lain (for the sake of argument). Maka perlu jelas hadis tersebut membahaskan mengenai hukum penghadang (sutrah). Dimana perlunya diletakkan penghadang di depan ketika solat bagi mengelakkan gangguan ketika solat. Maknanya sekiranya kita meletakkan penghadang maka faktor yang membatalkan solat tadi (sekiranya berpegang kepada pendapat ‘putus’ bermakna batal) telah dapat diatasi. Kesimpulan daripada menggunakan dalil tadi boleh dikatakan tidak menjadi masalah untuk perempuan haid lalu melintas sekiranya telah terdapat penghadang. Bukannya bukti sarih (jelas) perempuan haid tidak boleh memasuki masjid.

    Mengenai hadith seorang wanita Habsyi tidak cukup kuat untuk menerangkan tiadanya larangan haid. Lagipun, apabila dia telah menjadikan rumah, sudah tukar bahagian khemah itu sebagai rumah dan bukan masjid.

    alFaisal: Sekiranya bahagian khemah di dalam masjid tersebut telah automatik menjadi kawasan rumah dan bukannya masjid. Maka secara tidak langsung ianya bukan menyokong maksud hadis mengharamkan mereka yang haid berada di dalam masjid, tetapi telah menjadi sebaliknya kerana hadis yang masyur menjadi dalil pengharaman mereka yang berkeadaan haid berada di masjid berbunyi:

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam datang, sedang bahagian depan rumah sahabat-sahabatnya menganjur ke dalam masjid, maka sabdanya “pindahkan bahagian depan rumah-rumah ini dari masjid!” Lalu Rasulullah pun masuk, sedang orang-orang itu tidak berbuat apa-apa kerana mengharapkan adanya keringanan. Maka Nabi pun keluar mendapatkan mereka, katanya: “palingkan rumah-rumah ini, kerana aku tidak membolehkan masjid itu bagi perempuan haid maupun orang yang junub” [Hadis daripada Aisyah. Diriwayatkan Abu Daud. Dinilai dhaif dan mudhtharib (goncang) oleh Sheikh al-Albani di dalam Dhaif Sunan Abu Daud no.32]

    Sekiranya sesuatu kawasan di dalam masjid secara automatik menjadi rumah hanya dengan ia dijadikan tempat tinggal maka mengapa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam perlu menyuruh rumah-rumah tersebut dipalingkan?

    Dalam erti kata lain, sekiranya menerima hadis diatas sebagai hujah, maka terbatal hujah bahawa hadis mengenai wanita Habsyi tidak cukup kuat menerangkan mengenai haid dan begitu juga sebaliknya sekiranya menerima hadis wanita Habsyi tersebut.

    Kesimpulannya, telah sepakat jumhur ulama dalam melarang wanita haid untuk masuk ke dalam masjid (kecuali Ibn Hazm, namun pendapatnya pelik dan tidak kuat). Akan tetapi para ulama berselisih apabila dalam keadaan darurat. Menurut setengah, kecuali dalam darurat, setengah yang lain tiada darurat.

    alFaisal: Adalah perkara biasa dalam perkara-perkara khilaf terdapat sebahagian ulama’ akan berpendapat sekian-sekian dan sebahagian lagi berpendapat sekian-sekian. Jumhur ulama’ suatu masa dahulu juga mengharamkan nyanyian namun mengapa kebanyakkan kita masih menggunakan pendapat terpencil mengharuskan nyanyian yang bersumber kepada Ibn Hazm dalam hukum muzik? Ini kerana kita menilai dalil yang rajih, mengaplikasi fiqh awlawiyat dan fiqh taysir bukan melihat bilangan ulama' yang menyokong sesuatu pendapat.

    Secara peribadi saya lebih suka dan cenderung kepada pendapat yang membenarkan perempuan haid untuk berada di dalam masjid namun saya berlapang dada dan menghormati sesiapa juga yang merasakan pendapat yang mengharamkan wanita haid untuk berada di dalam masjid lebih tepat. Rahmat Allah berserta dengan mereka yang bijak berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat.

    wallahua'lam


    p/s: Lontaran pendapat ini asalnya telah siap ditulis dan dipos ke forum IU Cyber pada 24 April 2006. Sedikit suntingan telah dibuat bagi menyesuaikannya untuk dipos pada blog.

    alFaisal
    Cyberjaya
    4 Mei 2006 / 5 Rabiul Akhir 1427
    7:00 p.m


    Posted at 06:53 pm by sabau
    Comments (2)  

     
    Tuesday, May 02, 2006
    Hakikat Holy Water

    Hakikat Holy Water
    by:Faisal Arba'in

    Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Pengasih.

    Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya kita masih dapat menikmati pelbagai ni'mat terutama ni'mat Islam dan Iman.Di malam Ramadhan ini terdetik di hati saya untuk mengungkai persoalan berkenaan Holy Water setelah mendapat maklumat bahawa perkara iniditimbulkan kembali setelah menyepi buat seberapa ketika. Mungkin telah ramai yang mendengar tentang Holy Water dan keajaibannya dalam menyesatkan orang-orang Islam. Kisah-kisah ini telah banyak disebarkan melalui e-mail secara meluas dan melalui ceramah-ceramah agama yang diadakan. Hampir kesemua umat Islam di negara ini tahu dan mempercayai kisah ini.Walaubagaimanapun, terdapat beberapa keraguan tentang beberapa fakta di dalam kisah ini. Di sini saya ingin membawa anda semua untuk mengkaji tentang kesahihan kisah ini dari beberapa sudut.

    Hikayat paderi besar Sabah

    Kepada sesiapa yang pernah membaca artikel berkenaan seorang bekas paderi besar negeri sabah [1], sudah tentunya akan mempercayai kisah ini. Namun di dalam kisah ini terdapat beberapa perkara yang benar dan beberapa perkara yang tidak benar juga beberapa perkara yang saya tidak pasti berkenaan kesahihannya (kerana pertama kali mendengar tentangnya). Di sini saya akan menerangkan beberapa kesalahan yang terdapat di dalam artikel ini.

     

    Roman Chatolic Church atau St. Mary Chatolic Church? Father atau Pastor?

    SEMASA Kristian saya dikenali sebagai Paderi Thomas Laiden. Saya berasal dari Sabah dan berketurunan Solok. Agama asal saya ialah Roman Katholik. Saya mendapat pendidikan di Seminary Kepaderian Vantiken Itali iaitu institusi kepaderian terulung di Itali dan dibiayai oleh Persatuan Kristian Sabah. Saya tamat pengajian pada tahun 1985 seterusnya bertugas sebagai paderi di Vantiken. Seterusnya saya memohon untuk kembali ke negara asal saya iaitu Sabah.

    Pada tahun 1988 saya ditukarkan ke Sabah dan berkhidmat sebagai paderi. Saya bertugas di Gereja St. Mary, Persatuan Gereja Roman Katholik Sabah seluruh Sabah yang berpusat di Kota Kinabalu.

    Catholic bermaksud "Universal". Roman Catholic bermaksud Christian yang universal dan berpusat di Roman. Gereja-gereja Roman Catholic akan di sebut Catholic Church. Dan di Catholic Church, paderi akan di panggil dengan gelaran "father". Berbeza dengan di gereja-gereja dormination yang lain, paderi digelar dengan gelaran "pastor". Di dalam Christian, agama Christian terbahagi kepada dormination-dormination. Dan untuk Chatolic Church juga terdapat 23 Chatolic Church. Namun cuma satu sahaja yang bergelar Roman Chatolic Church. Dan cuma paderi Roman Chatolic sahaja yang tidak dibenarkan berkahwin dan bergelar father. Chatolic Chruch yang lain akan bergelar pastor dan dibenarkan untuk berkahwin.

    Jika kita lihat pengakuan Paderi Thomas Laiden ialah dia mengaku penganut kepada Roman Katolik tetapi bertugas di Gereja St. Mary.Jika kita search di internet, dan akan mendapati St. Mary Church adalah "St. Mart's Catholic Church"[2] dan ia bukan salah satu daripada Roman Chatolic Church. Jika kita lihat organisasi St. Mary church, paderi mereka disebut sebagai "pastor". Begitu juga dengan church-church lain yang meletak nama 'Catholic'. Contohnya Aglican Catholic Church

    Lebih-lebih lagi apabila paderi Thomas Laiden mengakui sebagai  "Roman Catholic". Ini menunjukkan Father Thomas Laiden bukanlah seorang penganut Roman Chatolic.[3]

    Kedudukan Paderi di dalam hieraki church

    Saya katakan pada Paul yang ulamak Kristian itu pembohong. Dia terkejut lalu berkata,"Thomas, kamu telah dihantar hingga ke peringkat tertinggi untuk menjadi paderi, kenapa kamu berkata demikian.Cuba kamu jelaskan kenapa kamu kata agama Kristian pembohong".

    Ayat "..untuk menjadi paderi" seolah-olah paderi itu adalah kedudukan yang tinggi di dalam heiraki didalam Christianity. Kedudukan Paderi (priest) di dalam Hieraki Catholic Churh sebenarnya bukanlah kedudukan yang tinggi. Kedudukan tertinggi ialah jawatan Pope dan diikuti dengan Cardinal yang bertugas sebagai pembantu pope di seluruh dunia. Kemudian di ikuti oleh Archbishop dan Bishop. Dan Bishop di bantu oleh Priest dan Deacons. Ini menunjukkan bahawa kedudukan paderi di dalam hieraki Roman Chatolic Church bukanlah kedudukan yang tinggi.[4]

    Tiada aqidah tetapi dapat mengucap

    Ia diperolehi dari proses uzlah yang dijalani sebelum menjadi paderi. Jika tidak mempunyai akidah yang benar-benar kuat, akidah boleh rosak disebabkan air ini. Contohnya ialah seperti apa yang berlaku ke atas seorang doktor perempuan Melayu di Selangor. Setelah minum, beliau langsung tidak boleh mengucap, hatinya telah tertutup. Menurutnya beliau sudah tidak yakin lagi dengan agama lain kecuali Kristian sahaja Kerana melalui Kristian beliau boleh melihat Tuhan Jesus yang turun setiap malam.

    Berdasarkan statement di atas, seseorang yang tidak mempunyai aqidah yang benar-benar kuat,akan terpengaruh dengan kuasa holy water ini dan tidak akan dapat mengucapkan syahadah. Menjadi satu persoalan bagaimanakah Paderi Thomas Laiden yang telah meminum Holy Water ketika dia tidak ada langsung akidah dapat mengucap syahadah dan memeluk Islam? Begitu juga dengan beberapa paderi-paderi lain yang akhirnya memeluk islam. Jika air ini dapat membuatkan seseorang itu tidak dapat mengucap, bagaimanakah orang-orang Christian dapat memeluk islam?

     

    Perkataan Kristian di dalam Bible dan adakah Bible itu Injil?

    Di dalam semua kitab tidak ada mengenai agama Kristian. Kristian ini baru sahaja berkembang oleh seorang Paul yang pertama di zaman Julius kemudian beliau mengembangkannya. Asal agama Kristian ialah dari agama Yahudi dan Nasara. Tetapi di Romawi ia dinamakan Kristianisasi. Jika kita meneliti di dalam kitab Nabi Isa (Injil) tidak ada disebut Kristian. Sebenarnya semua mubaligh Kristian tahu mengenai kedudukan agama Islam.

    Apakah yang dimaksudkan sebagai Kitab Nabi Isa(Injil)? Adakah Injil itu Bible? Perkataan Bible adalah berasal daripada perkataan Greek iaitu Biblos yang bermaksud Library of Books. Dan Bible sepatutnya disebut Al-Kitab(walaupun istilah al-Kitab juga masih kurang tepat) dan bukannya Injil. Kerana apabila kita mengatakan Bible adalah Injil, maka kita wajib beriman kepada Bible tersebut kerana beriman pada kitab-kitab adalah salah satu daripada rukun Islam. Adakah Bible itu adalah Injil yang diseleweng? Jika kita membaca Bible, ia sebenarnya di tulis oleh manusia-manusia yang dikatakan mendapat ilham (inspiration) daripada Holy Spirit (salah satu daripada Trinity).

    Berbalik kepada artikel, jika dirujuk didalam Bible pada hari ini, memang terdapatnya perkataan Christian namun gelaran ini bukanlah diberikan oleh Jesus a.s sendiri dan tidak wujud semasa Jesus a.s ada di muka bumi ini.

    Acts 11:26 "and when he found him, he brought him to Antioch. So for a whole year Barnabas and Saul met with the church and taught great numbers of people. The disciples were called Christians first at Antioch."

     

    Makanan yang diimport

    Saya jelaskan kepadanya, apabila semua paderi memakan Khusti Kudus (sejenis makanan yang diimport khas dari Itali) bermakna itu satu penghinaan kerana tubuh tuhan boleh dimakan.

    Upacara memakan tubuh tuhan sebenarnya berdasarkan pada verse di dalam Bible iaitu

    Matthew 26:26-27"While they were eating, Jesus took bread, gave thanks and broke it, and gave it to his disciples, saying, "Take and eat; this is my body." Then he took the cup, gave thanks and offered it to them, saying, "Drink from it, all of you. This is my blood of the covenant, which is poured out for many for the forgiveness of sins."

    Makanan yang dimakan itu sebenarnya adalah roti yang dibuat tanpa yis. Roti ini boleh dibuat di mana-mana sahaja dan bukanya diimport khas daripada Itali. Cuma menjadi syarat supaya roti yang dibuat itu tidak boleh dicampurkan dengan yis.

    Rukun yang kedua pula iaitu Ekaristi Maha Kudus bermaksud memakan tubuh Tuhan. Saya pernah berhujah dengan John Paul mengenainya. Saya katakan padanya sedangkan Firaun yang zalim itupun tidak pernah memakan tubuh tuhan kenapa pula kita sebagai ulamak Kristian boleh makan tubuh tuhan?.

    Sudah tentu Firaun tidak akan memakan tubuh tuhan, kerana dia menganggap dirinya sebagai tuhan.

     

    Nama Nabi Muhammad s.a.w di Bible

    Pernah terjadi dalam tahun '78, semasa itu saya terjumpa kitab yang menyatakan kebenaran Nabi Muhammad. Tetapi semasa itu saya tidak begitu memperdulikannya. Di dalam kitab tersebut ada menyebut mengenai Ahmad iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

    Statement di atas menunjukkan seolah-olah terdapatnya satu versi Bible khas yang menyebut tentang Nabi Muhammad dan perkara ini tiada di dalam mana-mana Bible yang lain. Sebenarnya perkataan "Muhammad" boleh di dapati di dalam mana-mana Bible sahaja yang kita dapat diperolehi. Namun, untuk menemui perkataan 'Muhammadim" ayat tersebut perlu dibaca di dalam bahasa Hebrew. Kerana itulah kita tidak mengetahui di mana ayatnya di dalam Bible, kerana Bible yang senang diperolehi hari ini adalah dalam bahasa English. Perkataan 'Muhammad" boleh didapati di dalam Song of Solomon 5:16 di mana jika dibaca di dalam bahasa hebrewnya...

    "Hikko Mamittakim we kullo Muhammadim Zehdoodeh wa Zehraee Bayna Jerusalem."

    dimana 'im' itu adalah kata jamak penghormatan di dalam bahasa Hebrew. Perkataan Muhammadim juga bermaksud 'altogether lovely'. Oleh itu di dalam Bible bahasa English pada hari ini, ia berbunyi:

    "His mouth is most sweet: yea, he is altogether lovely. This is my beloved, and this is my friend, O daughters
    of Jerusalem."

    Ini berlaku apabila nama seseorang diterjemah secara literal kepada maksudnya. contohnya, kita menterjemah nama Mr. Black (English) kepada encik hitam (bahasa melayu). Kerana itulah kita tidak dapat menjumpai perkataan "Muhammad" di dalam Bible..Ini bertentangan dengan pernyataan yang dikeluarkan oleh Paderi Thomas Laiden yang menyatakan seolah-olah dia telah menjumpai satu Bible khas yang ada menyebut tentang Nabi Muhammad s.a.w.

     

    Manuscript asal Bible dalam bahasa 'Hebron'?

    Saya mengambil kitab itu dan menyembunyikannya. Kitab tersebut ditulis di dalam bahasa Hebron. Ia masih saya simpan hingga ke hari ini dan saya dalam proses untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu

    Ramai yang menyimpan sangkaan bahawa  Bible yang asal adalah berbahasa Hebrew, begitu juga saya sebelum mempelajari tentang Chistianity. Sebenarnya Bible terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu Perjanjian Lama (Old Testement) dan Perjanjian Baru( New Testement) dimana Perjanjian Lama juga di sebut Hebrew Bible kerana di manuscript asalnya berbahasa Hebrew dan Perjanjian Baru pula juga disebut Greek Bible kerana manuscript asalnya ditulis dalam bahasa Greek. dan cuma terdapat 2 buku didalam Bible (iaitu Book of Ezra dan Book of Danial )ditulis di dalam bahasa aramaik (iaitu bahasa arab kuno). Mungkin juga Bible yang di jumpai oleh Paderi Thomas Laiden sebenarnya adalah Bible dalam bahasa Hebron, tetapi itu bukanlah Bible yang sebenar kerana manuscript tertua Bible yang boleh didapati adalah menjangkaui kepada ribuan bilangannya.

     

    Trinity di dalam Christiantity

    Pada suatu malam Ahad pada tahun 1991, saya bersembahyang dengan cara Kristian) di hadapan tuhan-tuhan saya iaitu. Tuhan Bapa, Ibu Tuhan (Mary) dan Anak Tuhan (Jesus Christ).

    Di sini jelas yang Paderi Thomas Laiden telah terkeliru di dalam konsep ketuhanan Christian. Christian bukanlah menyembah kepada 3 tuhan mahupun pada satu tuhan, tetapi menyembah tuhan dalan konsep Trinity.Di dalam konsep Trinity, orang kristian mengakui bahawa tuhan itu adalah tunggal tetapi di dalam bentuk tiga. Dan unsur di dalam Trinity ialah Father, Son (Jesus), and The Holy Spirit (Ruhulkudus) dan bukanya ibu tuhan atau Mary.Hal ini jelas bagi sesiapa sahaja yang beragama Christian pada hari ini walaupun mereka cuma penganut biasa.

    Komposisi Trinity disebut di dalam Bible di dalam book of 1st John chapter 5 verse 7 :

    1JOHN 5:6 "For there are three that bear recorded in heaven, the Father, the Word, and the Holy Ghost: and these three are one."

    "Word" adalah nama lain yang merujuk pada Jesus a.s dan "Holy Ghost" adalah nama yang digunakan untuk Holy Spirit didalam Bible King James Version. Namun verse ini telah dikeluarkan di dalam version Bible yang baru dan didalam Revised Standart Version mengatakan verse ini tidak ditemui di dalam manuscript asal.

     

    Kebenaran di dalam kisah ini

    Seperti yang saya katakan, tidak semua yang dikatakan di dalam artikel ini adalah salah dan tidak benar. Penganut Christian memang percaya tentang dosa warisan seperti mana yang di sebut di dalam artikel tersebut.

    Bagi kepercayaan Kristian setiap bayi yang baru lahir wajib dibaptiskan kerana ia mempunyai dosa, ia menyimpan dosa pusaka yang ditinggalkan datuk moyang mereka. Ia berlainan dengan Islam, Islam meletakkan bayi yang baru lahir itu adalah dalam keadaan fitrah (bersih).

    Walaubagaimana pun, "datuk moyang mereka" yang dimaksudkan sebenarnya adalah dosa yang dilakukan oleh Adam dan Eve(Hawa) kerana memakan buah larangan. Atas perbuatan inilah semua manusia menanggung dosa warisan. Namun, perkara ini cuma dari sudut persepsi Christian sahaja. Di dalam Islam, kita percaya selepas Adam dan Hawa di hantar ke bumi, mereka telah bertaubat dan taubat mereka telah diterima Allah

    Saya juga menyokong pandangan penulis tentang suasana orang islam sekarang iaitu:

    Bagi pandangan saya, saya lihat orang Islam agak susah untuk bersatu. Masing-masing mempunyai fikrah yang berbeza dan hidup dalam kelompok sendiri. Kadangkala di kalangan orang Islam sendiri bergaduh. Ini berlainan dengan orang Kristian yang amat menitikberatkan soal kebajikan. Namun bukan semua orang Islam begitu, masih ramai di kalangan mereka yang bijak.

     

    Hakikat Holy Water

    Sejauh yang saya pelajari, Holy Water ini sebenarnya cumalah air biasa yang didoakan oleh paderi. Dan air ini hanya boleh diminum oleh pengikut gereja tersebut sahaja.

     

    Beberapa logik berkenaan Holy Water

    Holy Water sebagai senjata perang

    Jika kita percaya yang Holy Water ini dapat menyebabkan seorang muslim murtad dan menganut Christian, sudah pastilah ini menjadi senjata utama di dalam menghadapi orang islam. Dan tidak perlulah Amerika Syarikat membelanjakan beribu-ribu dolar untuk membuat senjata-senjata dan tidak perlulah menghantar beribu-ribu tenteranye ke Palestin, Afganistan , Iraq dan negara-negara lain. Apa yang perlu di lakukan ialah menyalurkan Holy Water ke dalam bekalan air paip mereka sahaja sudah cukup untuk meng'christian'kan seluruh negara dan menakluk negara tersebut.

     

    Hasad dengki terhadap perniagaan orang lain

    Kita sering mendapat email dan maklumat berkenaan air jenama sekian-sekian adalah air Holy Water dan  ramai meminumnya telah murtad. Sebahagian (dan rasanya kebanyakkannya) adalah air yang berjenama dengan nama Islam. Tidakkah kita terfikir kisah ini di reka-reka untuk menjatuhkan perniagaan orang lain? Khususnya perniagaan orang Islam itu sendiri

     

    Bekas Paderi dan Penganut Christian dapat memeluk Islam

    Sudah tentu menjadi tanda tanya kepada kita bagaimanakah orang-orang Christian masih dapat memeluk Islam walaupun telah meminum Holy Water ini. Lebih bertambah pelik lagi apabila paderi-paderi yang telah berbelas-belas tahun meminum dan membuat air ini juga masih dapat memeluk Islam tetapi orang Islam yang meminum air ini tidak dapat mengucapkan syahadah lagi. Bagaimana ini terjadi?

     

    Pendekatan Dakwah dan Islah di dalam Islam

    Di sini, saya bukanlah ingin menyokong agama Christian, tetapi cuma ingin menyedarkan umat islam supaya mengadakan dakwah dan islah yang benar dan tidak melakukan sesuatu yang terlarang. Matlamat tidak menghalalkan cara. Tambahan pula, dengan pendustaan yang dilakukan hanya akan membawa lebih banyak keburukan kepada imej Islam itu sendiri. Walaupun kita seharusnya berdakwah kepada manusia, dan berpesan-pesan sesama muslim, namun ini tidak bermakna kita dibolehkan untuk membuat pembohongan hatta kepada agama lain.

    Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat (benar dalam segala perkara). [Surah al-Ahzaab:70]

    Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta.[surah An-Nahl : 105]

    Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan, manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu. [Al-An'aam:112]

    "Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." [Surah Al-'Asr : 3]

    Kita disuruh berpesan-pesan dengan kebenaran dan bukanlah dengan pembohongan semata.dan bukankan telah diingatkan kepada kita bahawa fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh?

    "...fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan..." [Surah Al-Baqarah:191]

    hal ini disebut lagi dalam ayat..

    ...Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidilharam (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati) ...[Surah Al-Baqarah:217]

    Hadis Huzaifah r.a katanya:
    Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak masuk Syurga orang yang suka menabur fitnah  [Sahih Muslim]

    dan janganlah kita suka menghebah-hebahkan perkara yang tidak benar.

    Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). [Surah An-Nuur:19]

    Jika sampai satu perkara, siasatlah terlebih dahulu...

    Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [Surah al-Hujurat:6]

     

    Dakwah secara hikmah

    Bukankah kita dituntut agar berdakwah secara berhikmah dan sekiranya ianya melibatkan agama lain, kita tidak dibenarkan untuk menghina atau mencaci agama lain.

    Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. [Surah an-Nahl:125]

    Dan janganlah kamu memaki benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan memaki Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. [al-An'aam:108]

     

    Impak daripada pendustaan terhadap Christianity

    Seperti yang saya katakan sebelum ini, atas pendustaan terhadap agama lain hanya akan membawa lebih banyak keburukan kepada agama kita. Di sebabkan kisah ini, telah ramai penganut Christian mempunyai tanggapan buruk terhadap Islam. Seperti menganggap muslim kebanyakkannya adalah pendusta, suka bersangka-sangka, menggunakan tektik kotor untuk menghalang umat Islam daripada mendapat "kebenaran" Jesus dan lain-lain lagi. Kesannya, lebih banyak salah tanggapan terhadap Islam, dan semakin susah untuk kita menarik hati dan berdakwah kepada mereka.

    Kesannya bukan sahaja kepada penganut Christian, malah juga kepada orang Islam, terutamanya yang jauh daripada Islam. Apabila mereka mengkaji kebenaran berkenaan Holy Water ini dan mendapatinya adalah palsu, akan timbul salah tanggapan di fikiran mereka terhadap Islam. Dan jika mereka bertanya kepada penganut Christian, dan kemudia penganut Christian menjawabnya dengan sangat berhikmah, ada kemungkinan untuk mereka tertarik kepada agama Christian.

    Selain itu, dengan kisah ini, akan timbul suatu perasaan takut dan yakin bahawa Holy Water ini mempunyai kuasa luar biasa yang dapat mendorong seseorang kepada syirik kepada Allah. Di mana dosa syirik adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah , kecuali bertaubat.

    Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. [Surah an-Nisaa':48]

     

    Teknik kotor missionaries Christian

    Selain daripada Holy Water (yang telah di dapati satu pembohongan) , terdapat beberapa lagi tektik kotor yang dikatakan digunakan oleh missionaries Christian.

     

    Menggunakan rupa paras

    Salah satu tekniknya adalah dengan menghantar lelaki yang kacak untuk memikat muslimah kita  dan gadis cantik untuk memikat muslimin kita. Dan mereka akan memujuk orang Islam tersebut untuk menganuti Christian jika mahu berkahwin dengan mereka. Kita seringkali menganggap teknik ini adalah sesuatu teknik yang kotor, namun tahukah anda 90% pendaftaran baru orang bukan Islam memeluk Islam di negara ini adalah melalui perkahwinan? Dan "teknik kotor" yang kita fikir ini sebenarnya telah dipraktikkan oleh orang Islam sejak berzaman.

     

    Menggunakan harta

    Diantara teknik yang lain ialah memberi ganjaran kepada sesiapa yang menukar agama mereka kepada Christianity. Dan bukankah ini bersamaan dgn sunnah Rasulullah s.a.w yang memberikan pertolongan dan zakat kepada mualaf?

    Hadis Abdullah bin Zaid r.a
    Rasulullah s.a.w telah membahagikan harta rampasan perang setelah memenangi Peperangan Hunain kepada orang-orang yang ingin dijinakkan hatinya iaitu baru saja memeluk Islam agar tetap dengan keislamannya... [Sahih Muslim] (kitab zakat)

     

    Kesimpulan

    Saya bukanlah ingin mengatakan Islam juga telah menggunakan teknik kotor. Tetapi ingin membuang persepsi buruk terhadap orang lain kerana tuduhan-tuduhan seperti ini akan berbalik kepada kita sendiri. Bagi seseorang yang berasa di tangannya ada kebenaran dan ingin berkongsi kebenaran itu dengan orang lain, sudah pasti tidak akan menggunakan tektik yang kotor, tetapi cara yang berhikmah.

    Penganut Christian menganggap mereka telah menemui kebenaran dan mereka ingin berkongsi kebenaran itu dengan orang lain. Maka mereka menyebarkan 'dakwah' mereka kepada semua. Sedangkan umat Islam yang telah benar-benar menemui kebenaran,tetapi masih enak dibuai tidur yang lena. Agama Nasrani bukanlah agama dakwah, tetapi merekalah yang paling kuat melakukan "dakwah". Islam adalah agama dakwah, tetapi kitalah yang paling kurang berdakwah.

    Kadang-kadang kita marah kepada mereka, sedangkan kita tidak melakukan apa-apa kerja. Dan apabila kita di datangi oleh orang-orang yang bertanya tentang Islam, kita tidak mahu menyampaikan risalah Islam pada mereka. Oleh itu saya menyeru kepada semua supaya kita mula bekerja dan menyebarkan risalah Allah dengan cara yang lebih bersih dan berhikmah.

    Semoga dengan artikel ini, dapat di perjelaskan tentang pendustaan ini dan dapat memberi ikhtibar kepada kita supaya kita lebih berhati-hati di masa hadapan. Saya memohon keampunan daripada Allah s.w.t daripada segala kesalahan yang saya lakukan. Dan saya menarik balik segala kata-kata saya jika ianya di dapati tidak benar atau tidak tepat semasa saya hidup mahupun telah mati.

    Wallahu'alam.


    1. http://www.tranungkite.net/modules.php?name=News&file=article&sid=1492

    2. http://www.stmaryschurch.org/main.asp?a=1

    3. http://en.wikipedia.org/wiki/Roman_Catholic_Church

    4. http://en.wikipedia.org/

    Artikel lain menjawab tentang Holy Water, http://www.tranungkite.net/modules.php?name=News&file=comments&sid=1492&tid=1471&mode=&order=&thold=


    Posted at 12:56 pm by sabau
    Comments (16)  

     
    Monday, May 01, 2006
    SIRI CIRI-CIRI MUSLIM CEMERLANG

            Tulisan ini diekstrak daripada kuliah dan nota ringkas Ustaz Hafiz Firdaus Abdullah di MMU yang asalnya bertajuk 7 Ciri Muslim Cemerlang. Penulis cuba menyampaikan kembali kupasan Ustaz Hafiz dalam bentuk penulisan dengan bantuan catatan peribadi dan nota ringkas yang diberikan. Terdapat sedikit penambahan oleh penulis namun insyaAllah tidak akan mengubah makna dan objektif asal. Kupasan ini akan disampaikan dalam bentuk bersiri insyaAllah. Yang baik sesungguhnya dari Allah dan sebarang kekurangan adalah natijah daripada kelamahan penulis sebagai makhluk yang tidak sempurna.

     

    .:: Muqaddimah ::.

     

    وَقُلِ اعْمَلُواْ فَسَيَرَى اللّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿۱۰۵

     

              Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan". [at-Taubah 9:105]

     

     

                Sesungguhnya Allah Ta'ala menyukai apabila seseorang kalian bekerja, dia bekerja dengan cemerlang [Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan dinilai sahih oleh Mokhtar Ahmad Nadwi dalam semakannya ke atas Syu'ab al-Iman – hadis no:4930]

     

    Islam adalah Deen (cara hidup) yang menuntut umatnya untuk menjadi cemerlang. Cemerlang yang dituntut merangkumi segenap aspek. Hari ini kita boleh lihat dalam matlamat mencapai  kecemerlangan (duniawi khususnya) umat Islam boleh dikatakan terbahagi kepada tiga golongan.


    [1] Golongan yang memintas (bypass) Islam demi mencapai kecemerlangan.

     


     

    Mereka inilah yang berfahaman sekularisme. Fahaman yang menolak nilai-nilai keagamaan dlm kehidupan sosial manusia. Bagi mereka agama adalah ritual di rumah-rumah ibadat semata dan tidak perlu campur tangan dalam urusan dunia baik pemerintahan, perniagaan, pekerjaan dan pelbagai lagi.

     

    [2] Golongan yang kononnya 'membebaskan' Islam daripada 'kekolotan' demi mencapai kecemerlangan. Golongan ini juga dikenali sebagai Islam Liberal.

     


     

    Golongan liberal ini bagaikan satu tindak balas kepada kewujudan golongan yang terlalu literal atau jumud di dalam Islam. Sebagai contoh, sekiranya Islam Liberal menolak azab kubur golongan yang literal juga jumud pula terlalu berlebih-lebihan dan melampau-lampau dalam mempercayai azab kubur hingga wujudnya cerita-cerita dongeng dan hadis-hadis palsu semata-mata inginkan orang lain takut kepada azab kubur.

     

    [3] Golongan yang mengecapi kecemerlangan melalui Islam yang tulen sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

     


     

    Golongan ini boleh dikatakan di pertengahan antara golongan Islam yang liberal dan golongan yang Islamnya terlalu jumud. Untuk mencapai sebenar-benarnya kecemerlangan kita perlu berada di dalam golongan yang ke-3 ini. Golongan yang berpegang kepada ajaran Islam tulen yang dibawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Memahami al-Quran dan as-Sunnah dengan pemahaman para salaf (generasi awal Islam) kerana mereka adalah generasi terbaik. Golongan ke-3 juga adalah golongan yang terbuka terhadap kreativiti dan inovasi dalam urusan duniawi (muamalah) selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat dalam memperkasakan umat Islam namun bersikap tegas dalam memelihara kemurnian dan kesucian akidah dan ibadah daripada tokok tambah dan pencemaran.


    bersambung...

    alFaisal
    Cyberjaya
    1 Mei 2006 / 2 Rabiul Akhir 1427
    3:36 a.m




    Posted at 03:36 am by alFaisal
    Comments (2)  

     
    Sunday, April 30, 2006
    JENAKA RASUK DAN RASUKAN KURANG SENSITIVITI DI JIWA UMAT ISLAM

    Baru-baru ini difowardkan kepada saya melalui Yahoo Messengger satu URL. URL tersebut dikatakan mengandungi klip seorang yang dirasuk oleh Jin. Maka saya pun klik pada URL tersebut yang membawa saya kepada satu page  yang mengandungi sebuah video.

     

    Dari pengamatan saya video tersebut merupakan sebuah lakonan semula satu adengan dari sebuah lagi video yang saya pernah tonton satu masa dahulu iaitu video insiden rasukkan di Brunei. Namun saya dapat rasakan video kali ini mungkin sebuah jenaka nakan tetapi masih tidak tahu dimanakah jenakanya. Adakah lucu itu pada mimik wajah pelakon yang berpura-pura dirasuk jin itu atau ketika dia kononnya mengorek hidung ketika dirasuk (yang pada saya keduanya tidak melucukan pun)? Saya terus menonton. Tiba di babak watak tuan guru yang kononnya cuba mengislamkan jin yang merasuk budak tersebut. Memang sah mereka melakonkan semula adengan mengislamkan jin dalam insiden rasukan di Brunei. Watak budak dirasuk tu mengerang-ngerang dan tuan guru mengajarnya mengucap kononnya untuk mengislamkan jin yang merasuk budak tersebut. Sedang diajar mengucap, watak budak yang kononnya dirasuk itu tiba-tiba memandang camera sambil menyanyikan bait "Asyhadualla ilaha il Allah, Wa asyhaduanna Muhammadar Rasulullah" dipetik daripada lagu Raihan 'Puji-Pujian'.

     

    Bagi sesetengah penonton video itu mungkin terbahak-bahak ketawa merasakan betapa lucunya aksi tersebut. Namun saya tidak berasa begitu, saya berasa cukup sedih. Kalimah yang mentauhidkan Allah dan memperakui Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagai Rasulullah bahkan proses mengislamkan pihak yang bukan Islam (dalam video itu merujuk kepada pengislaman jin) dijadikan bahan jenaka. Bahan untuk gelak ketawa. Tertanya dimakah sensitiviti umat Islam? Hatta sehingga proses mentauhidkan Allah pun menjadi bahan jenaka. Di manakah sensitiviti mereka yang tertawa melihat 'jenaka' itu?

     

    Sesetengah berpendapat mengapa perlu begitu serius, ianya sekadar hiburan sahaja. Perlu jelas disini hiburan di dalam Islam bukanlah mutlak tanpa garis-garis panduan sehingga membolehkan kita melakukan apa sahaja atas tujuan menghibur. Sheikh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam menjelaskan syarat-syarat yang perlu dipatuhi dalam hal filem antaranya berkata:

     

    Bahwa subjek-subjeknya yang diketengahkan itu (perlu) bersih dari kegila-gilaan, kefasikan dan semua hal yang dapat mensirnakan aqidah, syariat dan kesopanan Islam. Adapun semua pertunjukan yang dapat membangkitkan nafsu dan mencenderungkan orang kepada perbuatan dosa atau yang dapat membawa kepada perbuatan kriminal atau mengajak kepada fikiran-fikiran untuk berbuat serong, atau menjurus hukumnya adalah haram yang tidak halal bagi seorang muslim untuk menyaksikannya, atau mendukungnya.[ Halal dan Haram dalam Islam (terjemahan Al-Halalu wal Haram fil Islam oleh H. Mu'ammal Hamidy), PT. Bina Ilmu, 1993]

     

    Apakah bezanya menjadikan proses dan kalimah yang mentauhidkan Allah Subhana wa Ta'ala sebagai bahan jenaka dengan tindakan media Denmark yang pernah menyiarkan karikatur Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam? Mentauhidkan Allah Subhana wa Ta'ala lebih utama sebelum belajar mencintai rasul-Nya. Lebih sedih jenaka tersebut bukan dari orang bukan Islam yang tidak mengetahui mengenai Islam tetapi di kalangan orang Islam sendiri.

    Mungkin akan ada sesetengah kelompok yang mengajak kita melihat dari sudut positif (pada mereka positif), bahawa mungkin klip tersebut akan menjadi medium bagi mereka yang tidak pernah mendengar kalimah syahadah mengenali kalimah tersebut. Tetapi adakah mengenali dalam keadaan kalimah tersebut dijenakakan adalah cara yang diredhai Allah subhana wa ta'ala dan cara yang betul? Jika begitulah positifnya kita melihat, tidak perlulah umat Islam bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap karikatur Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam kerana ianya mungkin memperkenalkan Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam ke serata dunia. Kita bukan hendak mempertikaikan hikmah sesuatu tindakan kerana setiap perkara ada hikmahnya tetapi mempetikaikan perbuatan atau tindakan tersebut benar atau batil. Sebagai contoh berzina tetap salah sekalipun mungkin selepas dari berzina si A insaf dan akan lebih tekun beribadat. Berzina tetap tidak boleh dijadikan medium memupuk keinsafan!

    Saya mengajak diri saya dan pembaca semua, untuk kita renung kembali. Dimanakah sensitiviti kita dalam memelihara kemurnian tauhid? Adakah kita sanggup suatu hari nanti anak-anak kita menonton video-video yang lebih teruk menjadikan agama bahan jenaka dan ketika hendak dihalang mereka sekadar berkata: "Alah sekadar hiburan, apa salahnya…"

    Berguraulah, berjenakalah. Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam juga bergurau senda. Tetapi tiap sesuatu itu ada batasnya.

     

    Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. [al-Maidah 5:87]

     

    alFaisal
    Cyberjaya
    24 April 2006 / 25 Rabiul Awwal 1427
    6.20 pm


    Posted at 06:20 am by alFaisal
    Comments (5)  

    Next Page